Ada beberapa kedai menjual daging, ikan dan ayam segar, memang betul-betul mengambil berat kesegaran produk jualan mereka. Biasanya setiap satunya mereka asingkan mengikut tarikh. Ikan yang diperolehi segar mesti dihabiskan dalam masa tertentu dan jika lebih dari masa yang ditetapkan, ia mesti dilupuskan dengan segera. Dengan ini, pelanggan dapat produk yang setanding dengan wang yang dibelanjakan. Jangan jadi macam sesetengah peniaga yang menggunakan pengawet seperti formalin untuk menjadikan ayam dan ikan mereka kelihatan segar. Ada juga yang menyolek daging, ayam dan ikan untuk menyerupai daging, ayam dan ikan yang segar. Dan paling banyak, peniaga yang memilih daging, ayam dan ikan lama yang kelihatan segar untuk dicampurkan dengan stok baru.

Untuk kedai yang begini, anda sebagai pelanggan sebenarnya boleh mengambil kesempatan sedikit. Apabila sampai waktunya contohnya dalam 4 atau 5 hari selepas stok baru sampai,  daging, ayam dan ikan akan dilelong dengan harga murah tak kira sama ada ia masih elok atau tidak asalkan tempohnya sudah hampir sampai. Jika anda rajin pilih betul-betul, maka dapatlah membeli siakap seberat 800g dengan harga RM1.50. Dan ia perlu dimasak segera dan jangan sesekali menyimpannya lagi. Selalunya kedai begini tidak menjual ikan sejukbeku. Hanya chill dan bukan frozen.


Bahan-bahan untuk Siakap Sambal Tomato
1 ekor Ikan Siakap
1 bj Bawang Besar
3 Ulas Bawang Putih
½ cwn Cili Boh
1 inci Halia
2 bj Tomato Besar
10 bj Tomato Ceri
1 cmt Garam
2 cmb gula
1 cmb Jus Limau Nipis
1 cmb Tepung Jagung
Minyak untuk menggoreng


Cara membuat Ikan Siakap Sambal Tomato
  1. Lumurkan ikan siakap dengan garam dan taburkan dengan tepung jagung sehingga rata.
  2. Panaskan minyak masak yang banyak dengan api besar, gorengkan ikan siakap sehingga garing. Angkat, tuskan dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak masak dari kuali sehingga tinggal ¼ cwn sahaja. Panaskan dengan api kecil.
  4. Kisar bawang besar, bawang putih, halia dan tomato besar bersama-sama cili boh sehingga halus.
  5. Tumiskan bahan-bahan kisar sehingga wangi dan garing.
  6. Perasakan dengan garam, gula dan asam.
  7. Akhir sekali, masukkan tomat ceri yang dibelah dua. Hidangkan bila tomato sedikit layu.


Tip Masakan Berguna
  1. Saya memang sangat menggemari masakan bersambal. Tak kira sambal apa, bila buat memang saya akan lebihkan sambalnya hingga tak nampak hidangan asalnya. Ikan yang sudah tidak berapa segar sebaiknya dibuat masakan cara ini dimana apabila ikan digoreng, isinya tidak akan hancur selagi rasanya tidak berubah.
  2. Sambal begini juga sesuai untuk masakan nasi padang. Anda boleh menggunakan sambal yang sama untuk ikan, ayam, daging atau makanan laut yang lain tetapi tak perlulah dibuat semuanya pada hari yang sama. Jika hari ini udang dan ikan, mungkin esok giliran ayam dan sotong pula.
  3. Paling penting jika membuat masakan begini, ia mesti digoreng dengan garing dan jika ikan, luarnya perlu rangup tetapi bahagian dalamnya lembut dan berjus. Itulah fungsi tepung jagung yang utama. Selain itu, menggoreng dengan minyak yang banyak dan api yang besar juga sangat membantu.