Kalau dulu, saya ada paparkan Talapia Masak Stim cuma resepi ini ada sedikit perbezaan. Untuk menguatkan rasa masakan Thai, ia menggunakan kuah serai manakala sos tiram dikeluarkan untuk mengurangkan ciri-ciri masakan cina. Hidangan Thai seperti ini sangat cepat disediakan dan mudah. Kebanyakkan restoran Thai memang tiada masalah dalam menyediakan hidangan ini kecuali mereka lebih senang menggunakan stok ayam. Adalah lebih elok mengekalkan rasa ikan berbanding mencampur-adukkan dengan ayam.


Bahan-bahan Untuk Ikan Masak Stim Cara Thai
2 Keping Potongan Ikan
1/2 cmt Minyak Bijan
1/2 cwn Stok Sayur-sayuran
2 cmt Jus Limau Nipis
1 cmt Gula Perang
2 cmt Kicap Cair
1 cmb Sos Ikan
1 btg Serai
3 bj Cili Padi
1 cmt Tepung Jagung Dibancuh bersama 2 cmb Air
1 inci Halia Muda
5g Daun Bawang
Sedikit Daun Ketumbar
Garam

Cara membuat Ikan Masak Stim Cara Thai

  1. Bersihkan ikan dan tuskan. Lap dengan kertas tisu jika perlu.
  2. Lumurkan ikan dengan garam dan minyak bijan dan letakkan dalam bekas casserole untuk mengukus.
  3. Ketuk atau tumbuk serai. Hancur pun tak mengapa. Masukkan dalam periuk yang mengandungi stok sayur-sayuran.
  4. Panaskan stok dan biarkan merenih sebentar.
  5. Tambahkan kicap, sos ikan, cili padi yang diketuk, dan perasakan dengan garam, gula dan jus limau.
  6. Tuangkan larutan tepung jagung dan kacau sehingga menjadi likat sedikit.
  7. Curahkan separuh kuah ini keatas ikan sewaktu ia masih panas.
  8. Taburkan di atas ikan dengan halia muda dan daun bawang yang dipotong halus memanjang (julienne cut)
  9. Kukus selama 10 - 15 minit dengan api yang kuat.
  10. Keluarkan ikan dan hias dengan daun ketumbar. Curahkan kuah yang selebihnya tadi jika perlu.


Tip Masakan Komersial.

  1. Untuk masakan ikan stim begini, saya suka menggunakan ikan yang berisi putih. Biasanya jenis-jenis siakap atau kerapu. Untuk kali ini saya menggunakan ikan merah. Teringin sangat nak makan ikan kod atau salmon tapi belum mampu.
  2. Semua tahu, masak menggunakan kaedah stim adalah kaedah masakan terbaik dan berkhasiat. Masakan begini biasanya popular dalam masakan cina. Dengan menggunakan bahan-bahan yang menjadi trademark Thai, maka jadilah sejenis masakan Thai yang berkhasiat tanpa kolesterol.
  3. Daging Ikan sangat cepat masak. Isi ikan yang telah masak akan berwarna putih dan tidak jernih. Isinya yang mudah dipecahkan juga menunjukkan ia telah masak sepenuhnya.