Kalau pergi ke bazaar ramadhan, ramai betul peniaga yang menjual ikan bakar. Macam-macam stail yang ada. Macam-macam rupa pun ada. Yang pastinya tak ada satupun yang murah. Ikan kembung seekor pun dan mencecah RM3. Kalau buat sendiri boleh dapat setengah kilogram.

Bahan-bahan yang diperlukan
Ikan secukupnya (kembung/pari/cencaru)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 cmb cili kering kisar
Halia sebesar ibu jari
2 batang serai
Lengkuas sebesar ibu jari
Air asam jawa/jus limau kasturi
2 cmb minyak untuk menumis
Garam dan gula

Cara membuatnya
  1. Kisar semua bahan sehingga halus.
  2. Panaskan minyak masak dan tumis semua bahan sehingga garing.
  3. Perasakan dengan garam dan gula dan masak sehingga pekat. Saya gunakan gula merah untuk rasa yang lebih lemak.
  4. Grill ikan diatas kuali leper sambil dicurahkan kuah yang dimasak tadi. Oleh sebab saya ni orang miskin, jadi saya mampu beli ikan kembung je la. Setelah ikan masak, letakkan diatas daun pisang dan teruskan menggrill sehingga daun pisang mengeluarkan aroma.
  5. Hidangkan bersama-sama hirisan limau kasturi.

Tip masakan
Cara diatas adalah cara yang sering digunakan oleh peniaga pasar malam/bazaar ramadhan. Saya hanya membungkus ikan dan kuahnya didalam aluminium foil dan dipanggang di atas kuali leper. Saja je supaya dapur tak comot.
Sebenarnya resepi ini akan lebih sedap jika kita dapat serapkan aroma asap dalam kuah dan ikan. Dalam masakan barat, ini dipanggil smokey flavour. Cara untuk mendapatkannya dengan memasak menggunakan dapur arang atau kayu kerana dapur ni je yang banyak mengeluarkan asap. Kalau kat kampung boleh la saya gunakan cara ni. Kalau kat bandar jangan harap la. Habis berjerebu rumah saya nanti.
Nak gunakan oven? Boleh juga. Setkan fungsi grill pada suhu maksimum.

Tip berniaga
Kalau kita kira kos dan harga pasaran ikan bakar ni, kita akan dapati banyak sungguh untungnya. Jika anda berminat untuk berniaga, buat sedikit eksperimen dahulu untuk mendapatkan rasa yang unik. Mungkin anda boleh cuba menambah bahan yang mempunyai bau yang kuat seperti daun kunyit, daun limau purut atau menambahkan sedikit pes tomyam. Cari kaedah membakar yang menarik perhatian pelanggan contohnya menggunakan tempayan atau apa saja asalkan lain dari yang lain. Bila dah glamour, keluarkan perencah ikan bakar. Mesti dapat sambutan sebab saya belum pernah jumpa produk ni.