Dulu daya pernah mengeluarkan satu artikel mengenai Hutan Lipur Taka Melor yang sangat hampir dengan kampung saya. Malangnya, jambatan yang menghubungkan Hutan Lipur Taka Melor dengan dunia luar telah rutuh sepenuhnya. Sewaktu banjir besar di Johor, pernah runtuh sekali dan kini runtuh lagi. Entah bila, saya pun tak tahu. Nampak dari rupanya, macam dah lebih setahun. Sehingga kini tiada usaha untuk memperbaikinya. Menjelang cuti sekolah yang hampir tiba ni, terpaksa la saya menuju ke kawasan percutian yang jauh sedikit iaitu Hutan Lipur Sungai Bantang atau lebih dikenali sebagai Air Terjun Bekok. Tak payah cerita la macam mana nak ke sana. Sekarang ni semua dah senang. GPS ada, Googlemap ada. 


Hutan Lipur Sungai Bantang terletak di Bekok, Johor. Sejak saya kecil lagi, Hutan Lipur Sungai Bantang memang sudah dibuka sebagai tempat percutian seisi keluarga. Kini kawasan ini sudah dimajukan  dengan mendirikan blok perniagaan. Lebih banyak hutan dibersihkan untuk dijadikan tempat meletak kenderaan. Kalau ingin menghirup udara segar dan menikmati kehijauan hutan sambil bermandi-manda di air terjun, disinilah tempatnya. Tapi kalau anda inginkan suasana yang tenang dan sunyi untuk bersendirian, lebih baik pergi tempat lain.


Tak seperti Hutan Lipur Taka Melor, Hutan Lipur Sungai Bantang sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. Sewaktu gambar-gambar dalam artikel ini diambil, ada lebih 50 buah kenderaan diletakkan di luar. Mungkin Hutan Lipur Sungai Bantang sudah lama terkenal menyebabkan kawasan air terjun selalu penuh dengan pengunjung. Lagipun, Hutan Lipur Sungai Bantang lebih hampir dengan Jalan Air Hitam – Segamat yang menjadi laluan utama di sini.


Sewaktu kecil, saya pernah mengikut kakak saya berniaga burger di sini. Pada masa itu, tiada tempat letak kereta, tiada gerai. Yang ada hanya lorong kecil dan hutan lipur yang masih cantik. Pada masa itu juga banyak pohon kelempung yang lebat buahnya menjadi ulam ketika saya menikmati nasi lemak. Pada hujung minggu jualan burger mampu melebihi 300 biji. Memang pada masa itu dah ramai pengunjungpun. Bagaimanapun harga burger hanya RM1 sahaja. Terkenang-kenang burger Purnama. Sekarang ada lagi tak jenama tu?

p/s: Rindu la nak ke Hutan Lipur Taka Melur. Bila la diaorang nak baiki jambatan. Nak jalan kaki tak berani pulak.