Saya tahu, mesti ramai diantara kita yang kurang berselera sewaktu sahur. Nak masak hidangan lazat waktu sahur, mesti leceh. Rasa malas pula. Tak kurang juga yang terlewat bangun sahur. Lauk berbuka pula dah habis. Mana tahan hari-hari makan telur. Jadi disini saya cadangkan satu hidangan yang sering membuka selera saya waktu sahur. Saya harap anda juga begitu. Lagipun hidangan ini boleh disimpan lama. Awal puasa, buat banyak-banyak. Letak je atas meja. Kalau sampai raya tak habis juga boleh la buat hidangan raya. hehhehe. Kalau sanggup buat lagi banyak, boleh jadi usahawan.

Sambal tempe kering

Bahan-bahannya
5 keping tempe
50g ikan bilis
5 cmb cili kisar
1/2 ulas bawang besar
2 ulas bawang putih
50g kacang tanah (pilihan)
sedikit belacan (pilihan)
garam dan gula secukupnya
1 cmb cuka
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya

Potong tempe kecil-kecil dan goreng sehingga garing. Angkat dan tuskan.

Ikan bilis dan kacang tanah (kalau ada) pun digoreng juga sehingga garing secara berasingan. Angkat dan tuskan seperti tempe tadi.

Kisar bawang putih dan bawang besar sehingga lumat. Tumis kedua-duanya bersama cili kisar sehingga garing. Masukkan garam, gula, cuka dan belacan dan biarkan sedikit kering.

Masukkan tempe, ikan bilis, kacang yang telah digoreng dan gaul rata sehingga betul-betul kering. Boleh la disimpan untuk dihidangkan sedaktu sahur.

Tip-tip masakan
Saya menggunakan cuka dan bukannya air asam jawa kerana cuka dapat mengekalkan sambal ini garing lebih lama. Serupa juga jika anda ingin menyira kerepek, cuka lebih sesuai digunakan.
Saya tak makan belacan dan kacang jadi saya tak pernah menggunakannya dalam masakan saya atas sebab-sebab kesihatan.
Untuk mendapatkan sambal yang benar-benar garing, lebihkan sedikit minyak masak. Apabila sambal telah kering, bolehlah dituskan lebihan minyak tadi. Sambal perlu betul-betul kering untuk memastikan ia tahan lama. Simpan dalam bekas kedap udara dan sambal ini boleh bertahan sehingga 1 bulan.

Seperti biasa ini cuma salah satu idea saya untuk anda semua berniaga. Apa yang ingin saya ketengahkan disini bukan sekadar satu hidangan untuk anda nikmati. Diluar negara seperti Jepun, UK, Australia dan lain-lain, banyak rakan-rakan kita yang belajar disana dan mereka teringin sangat menikmati makanan Malaysia terutama di bulan puasa ni. Pergi lah berniaga. Jual kepada pelajar-pelajar Malaysia diluar negara. Mereka mesti rasa bersyukur sangat sebab dah tak sanggup lagi makan burger. Lagipun hidangan ni tahan lama. Jangan sia-siakan ilmu yang anda pelajari di blog ini.

Apa kata kalau sira kuih mumia macam tempe ni. Mesti terangkat.