Blog Resepi Masakan Barat Komersial ini saya bangunkan untuk memupuk semangat berniaga produk makanan kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya cuba ajarkan apa yang saya tahu agar anda dapat aplikasikan kepada perniagaan. Memang ilmu perniagaan saya sangat cetek tapi saya ada banyak idea yang boleh dilakukan dengan makanan. Jadi saya cuma dapat menerangkan dalam bahasa saya sendiri dan saya harap boleh difahami oleh orang lain. Nak ajar macam mana nak buat supaya anda jadi kaya atau macam mana supaya lebih ramai pelanggan datang ke gerai atau restoran anda, memang saya tak tahu. Pendapat saya, jika produk bagus, servis berkualiti tentu pelanggan akan datang semula dan sedikit demi sedikit gerai atau restoran anda akan dikenali ramai.
salam puan,

sy minta izin guna resepi komersial donut puan utk berniaga kecil2an. sepanjang sy google resepi donut, sy dapati resepi puan paling mudah, ringkas, kos yg murah & paling penting tetap sedap & gebu. sy juga menggunakan resepi karipap puan utk jualan sy. smg apa ilmu yg sy peroleh diberkati utk mncari rezeki yg halal. terima kasih puan

Begitulah mesej yang saya terima melalui laman Facebook Resepi Komersial. Selaras dengan tujuan blog ini dibangunkan, anda boleh menggunakan mana-mana resepi  percuma saya untuk tujuan berniaga makanan. Tak perlu bayar, tak perlu minta izin, tak perlu tanya pun. Anda juga boleh ubahsuai resepi-resepi saya menjadi lebih baik untuk perniagaan anda. Jika sudi, bolehlah kongsikan ilmu yang anda dapat bersama saya. Selain itu, anda boleh mewariskan ilmu yang anda dapat dari blog ini kepada kaum keluarga, keturunan atau saudara-mara anda. Anda juga boleh ajarkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan mereka yang menghargai ilmu masakan. Kalau boleh, jemput mereka semua mengunjungi blog saya.

Blog saya memang tak boleh copy paste. Tujuannya adalah supaya orang-orang yang pemalas tidak menyalahguna blog saya. Ada yang copy paste bulat-bulat terus ke blog mereka. Jadi, jika mereka malas nak tulis artikel sendiri, tentu mereka lebih malas lagi nak menyalin artikel saya ke dalam blog mereka. Bagi anda yang rajin-rajin memasak semuanya, tentu tak kisah jika perlu menyalin sedikit resepi ke atas kertas. Kalau anda tak rajin menyalin, tentu anda tak rajin memasak juga.

Apa yang saya harapkan, blog ini dapat membantu ramai pihak yang memerlukan. Ada juga beberapa orang yang berkongsi kejayaan bersama saya tetapi mungkin lebih ramai lagi yang hanya menjadi pembaca senyap, menyedut dan menyerap apa sahaja ilmu yang ada di sini. Saya tak kisah. Insya Allah, tentu ada bahagian untuk saya. Kalau sudi, doakanlah kesejahteraan saya sekeluarga. Moga kita sama-sama mendapat kebaikkan dari blog Resepi Masakan Barat Komersial ini.