Kek coklat moist ini tempahan dari orang kampung saya untuk hantaran perkahwinan anak perempuannya. Kek dengan tema baju melayu memang sesuai untuk gubahan hantaran perkahwinan. Konsep gubahan hantaran sekarang memang begitu. Kalau dulu barang-barang hantaran disusun dalam dulang seperti rupa asalnya cuma dihias dengan bunga-bungaan agar kelihatan cantik. Kini semuanya sudah berubah. Kek dibuat menyerupai baju melayu manakala baju melayu digubah menyerupai kek. Alahai...

Gambar Kek Gubahan Hantaran Perkahwinan Idea Lama rujuk disini


Usahawan yang pandai menggunakan kesempatan, sebenarnya boleh mendapat keuntungan besar dari tabiat bakal pengantin ini. Dengan menggunakan bahan yang sedia ada, mereka boleh meningkatkan nilai tambah produk mereka dengan banyaknya. Ada yang boleh meningkat sehingga melebihi dua kali ganda harga asal. Bagi pelanggan pula, ini bukan suatu masalah. Dihari bahagia, mereka sanggup berbelanja lebih sedikit agar ia dapat menjadi memori yang sentiasa segar diingatan.


Bagi saya pula, usahawan bukan menjual produk sebaliknya mereka menjual kemahiran dan kreativiti mereka. Ini bermakna ia adalah perniagaan dibahagian perkhidmatan dan bukan pembuatan. Tidak ramai yang mempunyai kemahiran dan kreativiti dalam menggubah sesuatu benda menjadi benda yang lain. Ada juga yang mempunyai kemahiran tetapi lebih rela membeli dari membuat sendiri atas sebab yang anda sendiri semua tahu.


Asalnya saya ingin membuat kek ini lebih detail lagi seperti membuat kesan lipatan dibahagian tepi kek sama seperti baju melayu yang dilipat tetapi apakan daya. Rumah saya terlalu panas menyebabkan fondant buatan sendiri yang saya digunakan lebih cepat kering dari biasa. Jika saya buat juga, tentu ia akan meretak dan jadi seperti baju melayu yang tidak digosok. Keh keh keh. Saya juga tak meletakkan hiasan pada kotak supaya pelanggan dapat meletakkan sendiri hiasan mereka, sedondon dengan gubahan hantaran yang lain.

P/s : Saya dah jumpa la fondant dengan Logo Halal Malaysia keluaran sebuah syarikat di Klang. Memang sedikit mahal dari yang diimport. Tak perlu naik kapal pun boleh mahal jugak kan?