Resepi Mi Gulung ini saya buat khusus untuk menjebakkan diri dalam program Geledah Dapur Ramadhan Bersama Ben Ashaari yang macam dah tak sabar-sabar nak menyambut bulan puasa.

Resepi ini bukan sahaja ringkas dan mudah disediakan malah kosnya juga amat menjimatkan. Dalam erti kata lain, resepi ini sesuai dijadikan menu hidangan istimewa di restoran dan gerai anda pada bulan Ramadhan nanti. Itulah gunanya resepi komersial. Jangan hanya makan sekeluarga. Gunakannya untuk berniaga.

Bahan-Bahan

1 cawan mi telur
2 cmb kicap manis
1 bj telur
2 ulas bawang putih
3 bj cili padi
2 hiris halia muda
1 cmt sos tiram
1 cwn stok ayam/tulang/makanan laut
1 pokok sawi dipotong pendek
1/2 cmt minyak bijan
1/2 cmt tepung jagung bancuh dengan sedikit air
minyak masak secukupnya
garam dan gula

Cara-caranya

Gorengkan mi telur dengan sedikit minyak dan kicap dan ketepikan. Sebaik-baiknya mi telur hendaklah dibuat sendiri baru la boleh memaksimumkan keuntungan. Malu la kalau mi telur pun nak beli. Kalau tak tau buat boleh semak resepi Mi Telur Sup Cara Komersial

Dadarkan telur letak mi dan gulung cantik-cantik. Sebiji telur sudah memadai. Tak perlu nak menambah kos lagi. Pandai-pandai la gulung. Letak mi yang telah digulung dalam pinggan hidang dan ketepikan.

Gilis bawang putih. Hentak cili api, tumit mayang halia dan tumiskan dengan sedikit minyak. Biasalah, berniaga semuanya kena cepat. Tambahkan bahan-bahan lain, perasakan dan pekatkan dengan tepung jagung.

Curah di atas mi gulung dan sedia untuk dihidangkan.

Tip berniaga dari saya.

  1. Jangan la tiru bulat-bulat resepi ni. Ubahsuai sedikit untuk memberikan keunikan masakan. Anda boleh manambah sos ikan untuk menberikan sentuhan thai atau menggunakan mi sayur-sayuran untuk memberikan rasa.
  2. Beri nama yang hebat untuk masakan anda supaya kedengaran gah.
  3. Gunakan stok yang di renih sendiri dan bukannya stok dari kiub. Dah la mahal, tak berkhasiat pula
  4. Pelbagaikan sayur-sayuran untuk memberikan warna yang menarik. Saya tambah tauge je.