Setiap kali menyambut hari raya, pasti kami akan berkumpul bersama-sama bercerita panjang tentang pelbagai hal. Segala cerita keluar, dari hal kehidupan, isu semasa, kenangan silam atau apa sahaja yang terlintas difikiran. Sekali-sekala berkumpul kami mesti inginkan aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama dan biasanya kami akan memasak barbeku diperkarangan rumah secara tidak formal. Ada yang berkain pelikat, ada yang tak berbaju, ada juga yang lengkap berbaju raya. Segala yang terlintas difikiran habis kami bakar. Kucing yang melintas di tepi pemanggang pun hampir dibakar. Itupun rasanya masih tak mencukupi lagi untuk kami kunyah sambil berbual kosong kerana terlalu banyak kisah yang ingin diceritakan. Kalau tak dikawal memang habis semua makanan dalam rumah tu. Walaubagaimanapun selesai juga 4 ekor ayam gemuk, 50 batang sosej dan 4 batang garlic bread dibedal kami sekeluarga. Itu tak termasuk lagi hidangan yang tak dimasak menggunakan pemanggang.

Malam itu saya guna resepi ringkas sahaja. Segalanya tak dirancang. Jadi selongkar peti ais dan gunakan apa sahaja yang ada. Begitu juga dengan roti bawang putih. Tak perlu berhabis-habisan untuk menghasilkan roti bawang putih yang sedap. Membazir je. Gunakan resepi yang saya sediakan dibawah. Lebih jimat, lebih menguntungkan. Yang penting, ciri-ciri masakan barat mesti dikekalkan. Boleh juga ditambah pada menu restoran masakan barat anda. Cuba selidik harga garlic bread di Pizza Hut. Huh! tak masuk akal langsung!

Bahan-bahan
1 batang roti perancis (french loaf)
2 cmb mentega
3 ulas bawang putih
setangkai daun parsley

Cara membuatnya
  1. Roti perancis dibelah dua atau dihiris nipis menyerong.
  2. Ketuk sedikit bawang putih dan dicincang kasar.
  3. Daun parsley juga dicincang kasar.
  4. Campurkan semua bahan dan sapu pada roti perancis
  5. Bakar dalam ketuhar dengan fungsi grill dengan kepanasan maksimum sehingga garing.
  6. Sesuai dimakan panas

Tip masakan
Kurang sesuai jika bawang putih ditumbuk atau dikisar halus kerana bau dan rasanya yang kuat akan merosakkan selera. Masakan barat sepatutnya mempunyai rasa dan bau yang lembut dan amat berlainan dengan masakan melayu, india atau thai. Sekiranya tiada mentega, boleh gunakan majerin. Saya cadangkan majeri daisy yang wangi dan mempunyai rasa yang unik. Mungkin juga anda sukar mendapatkan parsley segar, jadi boleh gunakan yang kering atau gunakan je daun saderi tapi kurangkan kuantitinya. Bakar menggunakan bara api seperti yang saya buat memang lebih sedap kerana bau bawang putih, mentega dan herba akan lebih harum serta dapat merangsang deria rasa kita.

Gambar diatas adalah gambar abang dan kakak saya leka menikmati hidangan dengan gaya bebas. Sekali-sekala kena tukar model juga. Asyik anak je yang jadi mangsa. Keadaan meja seperti kapal karam membuktikan betapa gelojohnya kami pada ketika itu. Semua hidangan hanya sempat diletakkan beberapa saat sahaja diatas meja sebelum hilang entah kemana.

Tak suka makan roti omputeh? Apa kata cuba masakan cina pulak.