Masih ada lagi sebahagian gambar-gambar gubahan hantaran perkahwinan adik saya yang masih belum saya kongsikan. Tapi tak mau la kongsikan macam tu aja. Sambil membelek-belek gambar gubahan hantaran ini, sambil anda mencari idea gubahan hantaran yang ingin anda lakukan, ada baiknya kita sama-sama bincangkan mengenai majlis perkahwinan. Mana yang lebih menjimatkan sama ada bergotong-royong seisi kampung atau serahkan sahaja kepada syarikat katering juga perunding perkahwinan?


Sekarang ni, idea majlis perkahwinan semakin berkembang maju. Bermula dengan tema tertentu sehinggalah kepada majlis dalam taman atau diatas pulau. Semuanya bergantung kepada budget yang sanggup dikeluarkan. Bagi majlis yang dilakukan secara gotong-royong pula, biasanya tiada tema tertentu. Mungkin cuma warna sahaja. Agak sukar melaksanakan tema kerana terlalu ramai yang melakukannya mengikut konsep dan idea masing-masing.


Suatu ketika dahulu, saya berpendapat penggunakan perkhidmatan perunding perkahwinan adalah sesuatu yang membazir. Mengapa perlu membeli makanan siap sedangkan seisi kampung boleh bergotong-royong menyiapkannya. Setakat memasak, menghias pelamin, menyediakan cenderamata, bunga manggar, khemah dan lain-lain semuanya bukan masalah besar. Kemudian saya dapati, kaedah ini lebih banyak pembazirannya. Bahan-bahan masakan jarang sekali dibeli cukup-cukup sahaja. Bahan seperti bawang, bawang putih, lada, rempah-rempah dan lain-lain biasanya dibeli secara berlebihan kerana ramai yang berpendapat biar lebih jangan tak cukup. Bila bergotong-royong, orang kampung akan melakukan apa sahaja yang ternampak didepan mata. Jika nampak 10 guni bawang, semuanya akan dikupas dan dipotong. Nampak 10 kg lada merah, semuanya dihiris. Dalam hal ini, cuma tukang masak sahaja yang tahu berapa banyak bahan yang diperlukan. Manakala yang lain cuma potong, kisar, rendam, cuci, atau proses apa sahaja yang ada. Hasilnya banyak bahan yang terbuang tak kiralah bahan yang belum dimasak atau bahan yang siap dimasak.


Kini banyak syarikat perunding perkahwinan yang menyediakan pakej yang mereka panggil sebagai pakej cuci tangan. Mereka menyediakan segala-galanya seperti makanan, cenderahati, bunga telur, bunga pahar, gubahan hantaran, goodies, hidangan pengantin, perlamin, mak andam, khemah, pelayan, jurukamera, pakaian pengantin, kad jemputan dan lain-lain. Pendek kata, kita cuma perlu sediakan pengantin dan wang sahaja dan pakej ini biasanya dipanggil dengan pakej cuci tangan. Bayarannya sudah semestinya sangat tinggi. Masalahnya segala yang kita perolehi daripada bayaran yang tinggi sangat terhad. Kalau saya pergi kemajlis yang menggunakan perkkhidmatan katering, saya juga rasa kurang gembira. Nak ambil makanan juga seolah-olah dicatu. Hidangan pilihan ramai seperti ayam dan daging mesti ada yang sendukkan. Takut sangat saya nak ambil lebih.


Hasilnya saya dapati menggunakan perkhidmatan katering atau perunding perkahwinan kurang memberi kepuasan. Walaupun ia mudah, tak perlu susah payah mengemas dan membersihkan peralatan tetapi kuantitinya sangat terhad berbanding wang yang dikeluarkan. Manakala jika bergotong-royong, majlisnya lebih meriah, dapat mengeratkan silaturrahim seisi kampung, tetapi terlalu banyak pembaziran. Dari segi belanja, sudah pasti bergotong-royong lebih menjimatkan jika kita dapat mengawal pembaziran. Tetapi untuk mengawalnya sangat sukar. Menggunakan perkhidmatan katering pula bayarannya sangat tinggi tetapi bayarannya hanya sekali sahaja, sedangkan jika mengamalkan gotong-royong, jumlah wang yang perlu dikeluarkan sentiasa bertambah. Selepas selesai majlispun masih perlu mengeluarkan wang. Pasti ada sahaja barang yang tak cukup atau diperlukan. Dan jika pembaziran tidak dikawal, tidak mustahil jumlah keseluruhan wang yang dikeluarkan jauh lebih tinggi berbanding mengunakan perkhidmatan katering.