Semenjak dua menjak ni saya dah menukar tabiat pemakanan saya. Saya nak menuju kearah makanan yang lebih menyihatkan. Dulu memang saya dah kurangkan makanan yang berat dan berminyak. Sekarang saya nak mengurangkan lebih banyak lagi. Kurang lemak, kurang garam, tak bergula, kurang karbohidrat dan yang penting kurang makan. Jadi hari ini terkeluarlah resepi flatbread yang biasanya popular di timur tengah dan India. Namun untuk lebih menyihatkan, saya pilih inti dari masakan cina yang memang terkenal banyak menggunakan sayuran, mudah dan ringkas.


Kalau anda biasa dengan roti naan, chapatti, lempeng dan sebagainya, flatbread adalah salah satu keturunannya. Lain tempat, lain namanya padahal lebih kurang sama je. Untuk kali ini saya akan menggunakan yis agar dohnya tak liat sangat dan sedang elok sahaja untuk gigi geraham saya kerana saya tak nak menggunakan minyak. Sebenarnya flatbread seperti ini banyak dijual di negara China terutama yang beragama Islam.



Bahan-bahan untuk Inti Flatbread Ayam Chinese Style
200g Isi Ayam bahagian dada tanpa kulit dan lemak
400g Kobis Bulat
1 cmb Minyak Zaitun
1 cmb Kicap Manis
½ cmt Minyak Bijan
2 Keping Hirisan Halia
100g Daun Bawang
2 ulas Bawang Putih
½ cmt Yis Segera
1 cwn Air Suam
3 cwn Tepung Gandum



  1. Cincang ayam sehancur yang boleh. Bawang putih, halia, kobis bulat dan daun bawang juga dicincang tetapi tak perlu terlalu hancur. Dadu halus pun boleh.
  2. Panaskan minyak zaitun dan tumiskan bawang putih dan halia sehingga layu.
  3. Masukkan ayam dan goreng sehingga masak dan berderai.
  4. Masukkan kobis bulat. Tambahkan air jika perlu kerana kobis perlu dimasak hingga betul-betul lembut.
  5. Bila kobis dah sangat lembut, perasakan dengan kicap manis dan minyak bijan.
  6. Masukkan daun bawang. Tutup api apabila daun bawang dah layu. Biarkan ia menyejuk.
  7. Gaulkankan 3 cwn tepung gandum dan ½ cmt yis segera. 
  8. Masukkan 1 cwn air suam sedikit demi sedikit supaya tidak terlalu lembik. Gaul rata hingga sebati dan mendapat adunan yang lembut dan melekit. Rehatkan ½ jam.
  9. Setelah ½ jam, uli adunan. Taburkan sedikit tepung jika masih melekit. Jangan sampai doh menjadi keras.
  10. Bahagikan doh kepada 7 bahagian sama rata dan bulatkan.
  11. Ambil satu doh, leperkan sedikit dan masukkan inti lebih kurang 2 cmb dan bulatkan semula.
  12. Letakkan diatas dulang yang ditabur sedikit tepung. Leperkan sedikit doh itu.
  13. Rehatkan doh selama lebih kurang 40 minit bergantung kepada suhu bilik.
  14. Panaskan kuali leper, lebih baik gunakan kuali tak melekat dengan api sederhana.
  15. Ambil satu doh yang dah kembang. Taburkan tepung atas papan pencanai dan leperkan menggunakan penorak menjadi bulat. Pastikan inti tidak keluar.
  16. Goreng tanpa minyak kedua-dua permukaan sehingga masak.
  17. Hidangkan panas-panas.



Tip Masakan Komersial
  1. Sesuai dengan masakan cina, inti dibuat seperti inti pau, dumpling atau dimsum. Sangat ringkas sehinggakan anda boleh  menambahkan apa sahaja sayuran yang anda inginkan asalkan dimasak sehingga menjadi sangat lembut.
  2. Perasa utama untuk masakan cina tentulah minyak bijan dan kicap. Namun mengikut kesesuaian sayur, anda boleh tambahkan bahan perasa lain seperti sos tiram, hoisein dan sebagainya. Nak tambahkan rempah melayu, thai, india atau barat pun suka hati anda lah tapi sebaiknya anda tentukan jenis masakan anda dahulu. Tak perlu bercampur aduk secara keterlaluan.
  3. Inilah yang saya sukakan masakan cina kerana perasanya sangat lembut dan hampir tak rasa. Begitu juga dengan masakan jepun. Garam dan gula pun kebanyakkannya tak letak. 
  4. Doh roti tidak menggunakan minyak jadi tak boleh nak harapkan doh tak melekat langsung. Asalkan ia boleh menjadi bulat licin pun dah cukup. Gunakan tepung yang ditaburkan pada papan pencanai dan tangan agar doh tak melekat. Kalau mengurangkan penggunaan gula pula, doh akan mejadi keras dan tak sedap di kunyah. Biarlah sedikit liat seperti roti nan.
  5. Seperti yang saya katakana sebelum ini, saya mencari makanan yang lebih sihat untuk keluarga saya. Kalau anda rasa resepi ini boleh menjadi lebih sihat contohnya tak menggunakan minyak, menjadikan resepi vegetarian dan sebagainya, lakukanlah. Buatlah sesuatu yang baik untuk keluarga anda. Tapi, jangan pula makan berkeping-keping. Tak de maknanya usaha anda nanti.
  6. Hidangan seperti ini, saya lebih suka dimakan begitu sahaja dan tak perlu sos atau pencicah lagi. Ia dah lengkap dan seimbang dimana karbohidrat, protin, sayur dan lain-lain semuanya dah rangkum sekali. Kalau anda perlukan pencicah, saya cadangkan kuah yang berasaskan sayur-sayuran dan kekacang seperti cutni, atau bawang dalam cuka seperti murtabak.