Harga jus buah-buahan sekarang ni pun boleh tahan jugak tingginya. Kat kedai mamak je pun dah RM3.50. Kalau air macam Fizz Pineapple Juice ni baru layak jual harga macam tu. Kalau jus buah plain je setakat RM2.50 cukup la. Saya mengesyorkan restoran dan gerai yang menjual jus buah-buahan, cubalah jus buah-buahan dengan fizz flavour macam resepi dibawah. Jus nenas ni cuma satu contoh je. Fizz flavour ni boleh menjadi rahsia keenakkan jus buah-buahan segar restoran anda. Air berkarbonat banyak dijual di mana-mana sahaja tapi semuanya menggunakan perasa dan perwarna tiruan. Cuma di Indonesia saya pernah jumpa air teh o berkarbonat dijual dalam botol. Air buah-buahan segar belum jumpa lagi. Apa kata anda mulakan dulu. Cubalah bereksperimen dengan jus-jus lain. Mana yang sedap anda war-warkan dalam kotak komen dibawah. Tak larat saya nak bereksperimen dengan bermacam jenis jus. Jualan Ebook Masakan Barat Komersial pun tak cukup untuk segala macam kos dalam membangunkan blog Resepi Masakan Komersial ni.

Sebuah syarikat makanan segera pun pernah mencampurkan jus oren segar dengan air sprite. Anda pernah rasa? Klik gambar dibawah.


Resepi Fizz Pineapple Juice
¾ cwn Jus Nenas Asli
¼ cwn Soda Water
Air gula (jika perlu)
Ketulan ais secukupnya


Cara membuat Fizz Pineapple Juice
  1. Dapatkan jus nenas dengan cara mengisar ¼ bj nenas dengan sedikit air masak. Tapiskan untuk mengasingkan hampasnya. Boleh juga menggunakan pemerah jus elektrik untuk mendapatkan jus yang lebih asli tanpa menambahkan air.
  2. Masukkan ketulan ais, dan jus nenas kedalam gelas. Campurkan air gula jika perlu.
  3. Sejurus sebelum dihidangkan, tuangkan soda water sehingga penuh gelas. Hidangkan dengan segera.


Tip Masakan Komersial
  1. Soda water atau air soda adalah semata-mata air berkarbonat. Tiada perasa, tiada perwarna dan tiada gula atau sebarang pemanis. Air soda bukanlah aiskrim soda. Tinnya memang menakutkan sikit tapi ia disahkan halal oleh JAKIM. Air tin dalam gambar diatas adalah keluaran Pepsi Co. dan dibuat oleh Syarikat Permanis yang mengeluarkan segala macam air berkarbonat di Malaysia.
  2. Ada beberapa jenis air soda yang dijual di Malaysia. Selain dari Pepsi, jenama Schweppes dan F&N  juga mengeluarkan air soda. Jenama lain saya dah tak berapa ingat. Ada juga air mineral berkarbonat yang saya temui tapi itu keluaran luar negara.
  3. Suatu ketika dulu saya terfikir, kenapa la orang jual air kosong berkarbonat. Ada ke orang nak beli. Rupa-rupanya, air ni banyak juga kegunaannya. Bermacam jenis air kita boleh berikan sentuhan karbonat. Seperti iklan teh di Indonesia katanya “Tea with Shocking Soda”
  4. Kita tahu air berkarbonat tidak baik untuk tubuh. Dengan idea Fizz Pineapple Juice diatas sekurang-kurangnya kita boleh menyekat perwarna dan perasa tiruan, pengawet serta gula yang berlebihan juga kaffein dari memasuki tubuh kita. Lindungi keluarga kita terutama anak-anak yang semestinya sangat menggemari air berkarbonat.
  5. Air soda juga mengandungi natrium bikarbonat dan natrium klorida dalam proses menjadikan air itu berkarbonat. Ini menyebabkan terdapat sedikit rasa masin kerana bahan itu adalah sejenis garam. Cuba gunakan air soda yang mengandungi garam yang rendah. Tak kisahlah jika gasnya rendah.
  6. Tak semua jus sesuai dengan air soda. Air jus yang menggunakan susu memang tak sesuai kerana susu akan bertindakbalas dengan air soda menjadikan susu mendadih. Sungguh menakutkan jika air yang kita nak minum tu kelihatan berkeladak. Jangan lupa untuk bereksperimen untuk jus yang sangat  sesuai untuk resepi ini. 
  7. Cuba anda perhatikan air berkarbonat yang dijual di kedai-kedai berhampiran. Antara yang popular adalah air oren, lemon, anggur, epal, cola, dan lain-lain. Tapi belum ada lagi air tembikai, jambu batu, tebu, kelapa dan banyak lagi. Cubalah bereksperimen untuk air-air ini. Kalau sedap, sila beritahu saya.