Cara orang barat memasak dirumah sekarang ni dah jauh berubah. Tiada lagi proses yang menyusahkan diri semata-mata inginkan masakan yang sedap dan asli. Kebanyakkannya menggunakan produk-produk segera yang banyak berada di pasaran. Segala jenis herba dan rempah-ratus seluruh dunia boleh didapati dalam berbagai-bagai bentuk dinegara mereka. Tak boleh yang segar, mereka akan keringkan. Tak boleh yang kering, mereka akan jadikan jeruk. Tak boleh jeruk, mungkin dijadikan pes, dipastur, dan segala-galanya yang sesuai. Jadi tak pelik la kalau serai dijadikas pes dan dimasukkan dalam tiub macam ubat gigi. Tebu di jual dalam tin dalam air gula macam nenas.  


Kita tak akan jumpa produk sebegini kerana negara kita banyak yang segar. Namun masyarakat barat, mereka tetap menggunakan produk segera dalam masakan mereka walaupun negara mereka ada mengeluarkan produk segar. Cuba fikir-fikirkan, apa kelebihannya pada mereka dan negara sambil kita belek-belek resepi Fish Fillet with Creamy White Sauce



Bahan-bahan untuk Fish Fillet with Creamy White Sauce
4 keping Fillet Ikan Segar
2 cmt Minyak Zaitun
2 cmt Mentega
1 cwn Fresh Cream
2 cwn Stok Ayam
1 cmt Serbuk Paprika
1 cmb Jus Lemon
2 cmb Keju Parmesan di parut
¾ cwn Tepung Gandum Pelbagai Guna
Garam dan Lada Hitam



Cara membuat Fish Fillet with Creamy White Sauce
  1. Fillet ikan dibersihkan dan dipotong sama saiz lebar atau memanjang
  2. Perasakan ikan dengan garam dan lada sulah, kemudian salut dengan tepung. Ketuk ikan untuk menjatuhkan lebihan tepung yang menyalutnya.
  3. Panaskan minyak zaitun dan mentega dalam kuali leper (pan) dengan api sederhana. Apabila mentega dah cair gorangkan ikan disetiap permukaan sehingga kuning keemasan. Ketepikan.
  4. Dengan kuali yang sama dengan lebihan minyak gorengan tadi, masukkan stok ayam dan fresh cream.
  5. Tambahkan paprika dan perasakan dengan garam, lada hitam dan jus lemon. Biarkan mendidih.
  6. Setelah mendidih, kecilkan api dan biarkan merenih 7 – 10 minit sehingga pekat.
  7. Apabila cukup pekat, sudukan pada fillet ikan tadi dan taburkan dengan keju parmesan sebelum dihidang.



Tip Masakan Komersial
  1. White Sauce adalah diantara sos asas masakan barat yang sangat penting. Saya pernah menulis resepi berkenaan sos béchamel dan sos veloute. Hara panda dapat mempelajarinya.
  2. Creamy white sauce lebih simple dari sos béchamel atau veloute namun tak banyak berbeza. Hanya penggunaan rempah dan herba berbeza untuk rasa yang berlainan.
  3. Kepingan ikan yang paling sesuai adalah ikan dengan isi putih. Omputeh panggil white fish. Ada banyak ikan yang berisi putih, jadi pilihlah yang mempunyai isi tebal dan tak banyak tulang. Kalau rasa leceh sangat, boleh gunakan ikan dory yang dah siap dI fillet dan banyak dijual di supermarket seperti giant, tesco, jusco dan sebagainya.
  4. Seperti biasa, masakan barat memang mementingkan rasa asli dalam masakannya. Jadi kebanyakkan bahan perapan yang digunakan hanyalah garam dan lada sulah. Tiada rempah dan herba yang berbau dan rasa yang kuat dalam masakan barat. Namun anda boleh menambahkan bawang putih kalau suka. Dalam masakan barat banyak juga yang menggunakan bawang putih. Untuk memerap, biasanya mereka menggunakan serbuk bawang putih.
  5. Saiz kepingan ikan yang paling sesuai adalah setebal 1 inci dengan berat di antara 150g – 200g. Saya menggunakan ikan yang lebih kecil jadi tak dapat la fillet yang cantik berbentuk 4 segi. Kalau di hotel, tiada kompromi. Sila dapatkan ikan yang besar.
  6. Fresh cream boleh dibeli di pasaraya dan dijual didalam tetra pak. Pilih jenis UHT kerana ia tidak mempunyai gula. Fresh cream juga dibuat dari susu tapi ia lebih pekat. Jadi anda juga boleh menggunakan susu tetapi untuk memekatkan sos, anda perlu menggunakan roux. Belajar cara membuat roux dalam Resepi Sos Bechamel atau Resepi Sos Veloute.
  7. Boleh juga menggunakan double cream tetapi anda akan memerlukan lebih banyak stok ayam kerana ia pekat. Begitu juga jika anda dapati sos ini terlalu pekat, sila tambahkan stok ayam atau air lagi.