Dah sepuluh tahun Festival Layang-layang Antarabangsa dilangsungkan di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang tapi inilah kali pertama saya berpeluang menyaksikannya. Setiap tahun, ada sahaja aral yang melintang. Nama je rakyat Johor tapi susah sangat nak menyokong program yang bertaraf dunia seperti ini. Asyik menonton di TV sahaja. Tapi kali ini, berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Saya gagahkan juga pergi awal pagi dengan sedikit persediaan.

Saya jangkakan bila festival peringkat antarabangsa, akan ramailah pelancong yang akan saya jumpa. Bagaimanapun saya saya dapati pelancong yang datang hanyalah peserta festival sahaja. Tak tahu lah kalau memang ramai pelancong dari benua asia yang rata-ratanya berwajah seperti orang Malaysia. Ingin juga tengok pelancong dari Eropah atau Afrika...

Dalam banyak-banyak negara yang menyertai festival layang-layang ini, saya dapati peserta dari Jepun benar-benar mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi. Jika diperhatikan peserta dari negara lain, wajah mereka penuh dengan tekanan seolah-olah mereka datang hanya untuk menang dan tiada tujuan lain. Peserta Jepun lebih santai, ceria. Mereka melayan pengunjung, memberikan hadiah kecil hasil origami yang mereka buat ketika menunggu angin bertiup. Mereka juga berjalan sekeliling padang menunjukkan layang-layang mereka dan secara tidak langsung memperkenalkan budaya negara Jepun.


Seronok memanglah seronok menyaksikan langit dipenuhi layang-layang berwarna-warni berbagai bentuk. Tetapi cuaca tidak mengizinkan untuk saya menyaksikannya sampai petang. Setelah berkali-kali ditimpa hujan,akhirnya saya terpaksa juga mengundur diri. Kenapa la saya tak terfikir untuk membawa khemah. Setakat tikar je memang tak cukup. Maklumlah, diawal pagi seperti itu, dalam kepala hanya fikir makanan apa nak bawak je. Akan datang, jika berpeluang menyaksikan festival layang-layang lagi, saya akan pastikan untuk lebih bersedia.