Kecewa rasanya bila ada insan yang tak bertanggung jawab menyiarkan link download berserta passwordnya didalam blog menyebabkan sesiapa sahaja boleh mendapatkan ebook-ebook saya dengan mudah dan percuma. Terasa bagaikan keringat saya diperah sampai kering. Saya tak tahulah apa tujuan dia sebenarnya. Sama ada sengaja atau tak sengaja dia tetap telah mencabuli hak saya dan merampas hakcipta saya.

Ramai yang tak tahu sebenarnya saya telah menghabiskan banyak masa dan belanja untuk menghasilkan ebook-ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial. Bagi penulis ebook lain, mungkin mereka hanya perlu menghabiskan masa dihadapan komputer sahaja tetapi saya perlu melakukan berbagai kajian dengan cara memasak didapur. Bukan sekali, bukan dua kali malah berkali-kali sehingga saya mendapat hasil yang terbaik dari segi rasa, kaedah dan kos bahannya. Dengan ebook ini, anda tak perlu bersusah payah untuk mendapatkan rasa masakan yang sedap dan tepat malah anda dapat kaedah yang mudah dan cepat serta kos yang paling menjimatkan. Pengalaman saya sebagai pengajar katering selama 10 tahun saya curahkan dalam ebook-ebook ini dan anda boleh mendapatkan pengalaman ini dalam beberapa minit sahaja.

Niat saya agar sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi usahawan makanan boleh mendapat maklumat yang tepat seterusnya berjaya membangunkan gerai atau restoran yang hebat. Tak perlu menunggu selama 10 tahun untuk memperolehi pengalaman seperti saya. Tak perlu memasak berkali-kali untuk mendapatkan hidangan seperti saya. Apa yang saya minta hanya sedikit imbuhan dari kerja keras saya supaya saya tak rasa semua yang saya buat ini tidak sia-sia dan terus mendapatkan galakan dari keluarga.

Saya dah memperolehi semua maklumat mengenai insan ini. Saya ada alamat serta nombor telefon dia juga tapi sehingga kini saya masih belum melakukan apa-apa tindakan. Saya hanya memperbaiki sekuriti blog saya supaya perkara sebegini tidak berlaku lagi. Sebenarnya saya bersangka baik dan menganggap dia tak sengaja melakukannya. Mungkin semua email yang dia terima akan secara automatik di forward kedalam blog dia. Bukan saya seorang yang kena. Ada beberapa lagi ebook yang senasib dengan saya. Jika tak rajin menukar password dan link, tentu ebook-ebook yang terdapat dalam blog itu boleh dicuri dengan senang.

Betul ke tindakan saya ni? Adakah saya perlu menghubungi pemilik blog itu untuk menghentikan perbuatannya atau mengambil tindakan undang-undang keatasnya? Patut ke saya membuat laporan kepada host blog dia supaya blog itu di sekat? Perlu ke saya mengumumkan kepada pengusaha ebook yang senasib dengan saya akan hal ni? Harap ada sesiapa yang sudi memberikan pendapat.