Daging masak Yenkenkuksokanyu? Pelik benar bunyinya. Begini ceritanya. Semenjak kecil hingga sekarang, saya suka menonton rancangan masakan Martin Yen hinggakan saya melihat perubahan wajahnya dari dia muda hingga tua. Dari beratus-ratus episod dalam berpuluh-puluh musim dan rancangan masakan, saya dapati teknik masakannya kebanyakkannya hampir sama. Masih lagi memasak old school. Belum pernah saya nampak dia menggunakan peralatan moden. Kalau ada pun mungkin terlalu sedikit. 

[PENTING!] Ini 5 Perkara Yang Patut Korang Buat Supaya Anak-Anak Tidak Terlalu Bebas.

Hampir semua masakannya berwarna hitam. Sudah tentu sebab dia suka menggunakan kicap. Selalunya kicap pekat dan kicap cair digunakan bersama. Selain itu minyak bijan mesti ada. Dia juga gemar menggunakan sos-sos komersial yang dibotolkan seperti sos tiram, dan lain-lain. Daging Masak Yenkenkuksokanyu adalah berdasarkan masakan Martin Yan. Saya sangat gemarkan masakan cara ini dimana dagingnya sangat lembut dan berjus walaupun saya tidak menggunakan daging yang lembut. Macam mana boleh jadi macam tu? Mari kita belek dulu Resepi Daging Masak Yenkenkuksokanyu.



Bahan-bahan untuk Daging Masak Yenkenkuksokanyu
400g Daging Lembu
2 ulas Bawang Putih
2 cmt Kicap Pekat
2 cmt Sos Tiram
1 cmb Tepung Jagung
1 cmt Minyak Bijan
2 cmt Jus Limau Nipis atau Cuka
3 cmb Minyak Masak
2 cmb Madu
1 cmb Gula Pasir
1 cmt Garam
Sedikit lada sulah
Kacang Panjang atau Lobak Merah atau kedua-duanya



Cara Membuat Daging Masak Yenkenkuksokanyu
  1. Bersihkan daging dan potong nipis dan lebar.
  2. Perapkan daging bersama kicap pekat, sos tiram,limau nipis, madu, gula dan garam. Gaul rata.
  3. Kemudian barulah dicampurkan dengan 1 cmb minyak masak, minyak bijan dan tepung jagung.
  4. Biarkan bahan perapan menyaluti daging seperti batter. Kalau terlalu kering, boleh campurkan sedikit air. Kalau terlalu cair pun tiada masalah.
  5. Panaskan 2 cmb minyak masak dan tumiskan bawang putih yang telah dicincang hingga layu.
  6. Besarkan api kepada maksima dan terus masukkan daging yang telah diperap untuk mengelakkan bawang putih hangus.
  7. Kacau dengan pantas sambil meleraikan daging yang melekat sesama mereka.
  8. Setelah perapan menyaluti seluruh daging, dan masakan menjadi kering berminyak, masukkan kacang panjang dan lobak merah.
  9. Perasakan dengan lada sulah. Begitu juga garam dan gula jika belum seimbang.
  10. Hidangkan panas-panas bersama bubur atau nasi.



Tip Masakan Komersial
  1. Untuk mendapatkan daging yang lembut, ia perlu dipotong nipis setebal lebih kurang 3mm. Juga pastikan potongan melintang urat. Daging akan mudah dikoyakkan dan dikunyah namun ia akan menyebabkan daging menjadi kering dan keras setelah masak.
  2. Perapan dalam resepi diatas membuatkan tepung jagung yang menjadi pekat akan menyaluti permukaan daging dan mengunci lembapan dalam daging. Daging akan kekal lembut dan berjus.
  3. Proses masakan sepatut hanya lebih kurang 2 hingga 3 minit sahaja. Jadi pastikan api cukup besar supaya perapan dapat menyalut dan mengunci sebelum jus dari daging keluar. Gunakan kuali tak melekat supaya perapan menyaluti daging dan bukan kuali. Jika menggunakan kuali biasa, boleh gunakan lebih banyak minyak.
  4. Hasil masakan sepatutnya tidak berkuah. Minyak yang berbaki dalam kuali sepatutnya jernih menunjukkan salutan sempurna. Singkirkan minyak ini.
  5. Martin Yen juga suka menggunakan berbagai seasoning yang saya perhatikan macam tiada sistem. Capai je apa yang terlintas dalam hati. Semua campur kalau ada.
  6. Dalam masakan cina, anda boleh menggunakan leek atau daun bawang yang dipotong panjang dan digaul diakhir masakan agar ia tetap hijau dan segar. Mereka juga menggunakan bawang besar sama seperti sayur berbeza dengan masakan melayu yang menganggap bawang besar sebagai perencah. Tapi jika anda menggunakan cendawan seperti shitake atau yang sewaktu dengannya, anda perlu masukkan lebih awal.
  7. Berbagai jenis masakan boleh anda gunakan dengan kaedah yang sama seperti ayam, karangan laut seperti kupang dan kerang. Sotong dan udang dah mesti. Kalau gunakan isi ikan, perlu lebih berhati-hati sewaktu menggoreng kerana ia mudah hancur. Pendek kata semuanya sedap bak kata Martin Yen, If Yen Can Cook, So Can You.