Masih banyak lagi daging korban yang perlu dihabiskan. Keluarga saya bukanlah penggemar daging sangat. Saya pula alergik bila makan banyak daging. Jadi daging korban ini saya gunakan sedikit demi sedikit. Lagipun memang banyak masakan yang boleh disediakan berasaskan daging dan salah satunya adalah daging masak hitam ni.

Ini bukanlah masakan daging blackpaper kerana saya tak letakpun lada hitam tapi anda boleh menambahkan lada hitam sesuka hati kalau anda mahu kerana masakan ini fleksible dan mudah disesuaikan rasanya. Resepi ini adalah masakan cina jadi memang tak pedas. Senang je membuatnya. Memang sesuai dimasak sekiranya anda kesuntukan masa atau penat sewaktu pulang dari bekerja. Boleh ikuti resepi asas dibawah.


Bahan-bahan Perapan Daging Hitam
300g daging lembu
3 cmb kicap manis
1 cmb minyak masak
5 titik minyak bijan
1 cmb sos tiram

Bahan-bahan Daging Hitam
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
5 cmb kicap manis
2 cmb sos tiram
2 urat kacang panjang
1 cmt tepung jagung dibancuh dengan 1/4 cawan air sejuk
1 cmt cuka atau jus limau nipis
1/4 cawan minyak masak
Garam dan gula secukup rasa


Cara membuat Daging Hitam
  1. Daging dipotong nipis dan panjang melawan uratnya. Dan digaulkan dengan semua bahan perapan.
  2. Bawang putih diketuk dan halia diracik halus.
  3. Panaskan minyak masak dan tumis bawang putih dan halia sehingg wangi.
  4. Masukkan daging yang telah diperap dan goreng dengan api besar selama 10 saat.
  5. Kecilkan api. Tambahkan kicap manis, sos tiram, garam, gula dan cuka.
  6. Sewaktu mendidih, masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga pekat.
  7. Kacang panjang dipotong sepanjang 1 inci dan dimasukkan dalam masakan. Masak dengan api besar lagi selama 10 saat.
  8. Tutup api dan sedia dihidangkan.


Tip Masakan Penting

  1. Saya menggunakan daging lembu tempatan. Walaupun bukan bahagian yang lembut tetapi teksturnya masih halus. Jika menggunakan daging import biasanya daging kerbau (buffalo) yang teksturnya lebih kasar. Jadi hiris dengan betul supaya dagingnya tidak liat sewaktu dikunyah.
  2. Dalam bahan perapan menggandungi sedikit minyak masak supaya dapat membantu melembutkan daging dengan lebih baik.
  3. Memasak menggunakan api besar supaya daging tidak kering didalamnya. Daging yang kering menyebabkan ia menjadi liat dan keras. Daging yang terlalu masak juga akan menjadi keras jadi masa memasak adalah penting dalam menjaga kualiti masakan.

Kalau nak resepi daging cara omputeh, klik Resepi Black Paper Steak