Selepas tak puas hati dengan rupa Kek Coklat iPad Unboxing, memang hati tak berapa senang. Banyak kesilapan yang tak sepatutnya saya lakukan terutama dalam memahami sifat-sifat fondant. Kalau ikutkan hati, setiap tempahan kek, saya nak buat bertemakan iPad. Selagi belum puas hati, selagi itulah saya nak cuba juga. Akhirnya ada seorang yang berminat dengan tema ini tetapi bukan kek. Maka terhasillah Cupcake Red Velvet IPad Icon. Tak mengapalah asalkan dapat melunaskan ketidakpuasan hati saya. Asalkan tak mengganggu orang lain.



Untuk Cupcake Red Velvet IPad Icon ni, saya cuba perbaiki kesilapan yang saya lakukan sebelum ini. Icon yang sebelum ini kecil, saya besarkan 2 kali ganda. Ini memudahkan saya membentuk fondant untuk bentuk-bentuk yang kritikal. Bagaimanapun, masih banyak bentuk yang memerlukan kehalusan, gagal saya lakukan. Kalau jari saya halus dan runcing, mungkin mudah sikit kot. Mula la tu. Tak pandai menari dikatakan lantai tak rata.


Cupcake Red Velvet IPad Icon ni ditempah untuk majlis pertunangan jadi ia sepatutnya lebih formal. Entah macam mana, tiba-tiba muncul pula gula berbagai warna tu. Tak pasal-pasal cupcake tu dah jadi macam kek untuk parti harijadi. Mungkin saya tabur gula sewaktu diluar kesedaran. Sekali lagi menyalahkan lantai!


Bila membuat sesuatu yang mempunyai nilai seni, kesabaran sangat penting. Itu sebabnya setiap hasil seni tu mempunyai harga. Kalau semua benda ada acuan dan cetaknya, belum tentu boleh jadi cantik. Apa lagi kalau hanya menggunakan jari-jemari dengan dibantu oleh alat yang sepatutnya digunakan untuk tujuan lain. Bagaimanapun, saya percaya, sesiapa sahaja boleh lakukan. Cuma bezanya cantik dan tidak je. Saya juga percaya sesiapa sahaja boleh membuat sesuatu yang cantik asalkan anda memahami 2 perkara yang penting ini iaitu belajar dan latihan!

p/s: Apehal lak gambo tak leh beso nih?