Dalam artikel kali ini, saya memaparkan Cupcake Coklat Moist Hantaran Perkahwinan Bertemakan Barangan Hantaran Popular. Memang leceh nak membentuk fondant menyerupai barangan sebenar. Kalau saya sememangnya berbakat, mungkin tak ada masalah sangat. Jari-jemari yang besar juga mungkin jadi masalah untuk memegang sesuatu yang kecil. Apa yang saya boleh lakukan hanya berlatih, berlatih dan berlatih. Untuk kali pertama memang inilah hasilnya. Tak mampu mengadun warna-warna  untuk bahagian yang halus agar model lebih  realistik.



Sambil-sambil tu mari kita belajar sedikit mengenai kek coklat moist. Kek ini unik dan sedikit berbeza dengan kek yang lain. Faktor yang paling ketara ialah adunannya sangat cair menyebabkan cara menanganinya juga berbeza. Saya harap sedikit maklumat ini dapat membantu anda memahami sifat-sifat kek yang menggunakan adunan cair seperti kek coklat moist. Untuk artikel ini, ia merujuk kepada
Resepi Kek Coklat Moist yang saya muatkan dalam ebook Percuma Masakan Barat Komersial 3. Artikel ini juga diharap dapat membantu anda memahami oven anda dengan lebih baik.




Kek coklat moist perlu diletakkan ditengah-tengah oven agar mendapat haba yang sekata. Jika kek merekah biasanya disebabkan suhu oven yang terlalu tinggi. Senang sahaja konsepnya. Adunan kek coklat moist mengandungi banyak air jadi mengambil masa untuk ia menjadi panas secara perlahan-lahan. Jika oven terlalu panas, bahagian luarnya akan mengeras dahulu sedangkan bahagian dalamnya masih belum mengembang. Apabila dalamnya mula mengembang, ia akan menolak permukaan luarnya yang keras menyebabkan kulitnya retak. Cuba kurangkan suhunya sedikit. Jika masih retak, cuba kurangkan lagi sehingga mendapat suhu yang sesuai dengan oven anda. Penggunaan fungsi turbo juga kurang sesuai kerana ia memberikan kepanasan mendadak menyebabkan bahagian luarnya keras dahulu. 



Oleh kerana adunan yang cair ini, anda juga tak boleh membuka oven sebelum kek masak sepenuhnya. Kek akan lekuk dengan segera apabila suhunya menurun mendadak. Jika kita menguji dengan lidi dengan cara mencucuk, juga boleh menyebabkan kek lekuk. Jika dibakar semula, kek akan naik semula tetapi dah tak cantik sangat. Cara yang paling baik adalah dengan menggunakan deria bau. Pada 45 minit pertama membakar, tiada bau yang keluar. Jika belum 45 minit bau dah keluar, bermakna suhu terlalu kuat. Boleh kurangkan suhunya. Setelah 1 1/2 jam, bau kek coklat yang kuat akan seolah-olah hangit. Pada masa ini barulah oven boleh dibuka untuk diuji dengan mencucuk dengan lidi. Kalau masih melekat pada lidi, boleh sambung bakar. Ia tak akan turun lagi. Bau hangit datangnya dari permukaan tepi atas kek yang paling terdedah kepada suhu kerana ia bucu. Kerak ini akan menjadi lembut semula setelah sejuk. Jika 1 1/2 jam bakar masih belum keluar bau hangit, bermakna suhu oven terlalu rendah. Cuba tambahkan sedikit suhu dan beri sedikit masa untuk kek masak lebih kurang 15 minit. Setiap kali mengubahsuai suhu oven, cuba naik dan turunkan dalam gandaan 10 darjah celcius. 



Kesimpulannya, kek perlu dimasak dalam masa 1 1/2 jam tidak lebih tidak kurang. Cuba kurangkan suhu atau naikkan suhu 10 darjah setiap kali sehinggalah anda mencapai masa memasak 1 jam setengah. Dengan cara ini, akhirnya anda akan mendapat suhu oven yang sesuai. Lain kali apabila membuat kek coklat moist, tidak perlu lagi ragu-ragu mengenai suhu dan masa membakar sehinggalah anda membeli oven yang baru, calibration seperti ini perlu dilakukan semula kerana setiap oven pasti ada perbezaannya walaupun jenama dan modelnya sama. Dibengkel masakan saya mempunyai berbelas oven yang sama jenama dan model serta dibeli dalam masa yang sama tetapi setiap satu tak sama hasilnya apabila memasak kek dari adunan yang sama.