Satu lagi masakan barat dari kategori sup yang paling popular dinegara kita adalah cream of mushroom soup ataupun sup cendawan. Walaupun sup ini bukanlah istimewa sangat tapi ia mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Tak sah restoran masakan barat kita tanpa sup ini. Bayangkanlah, masyarakat di Malaysia sanggup membeli sup cendawan ini yang telah dijadikan sup segera sama ada dijual dalam tin dalam bentuk pekatan mahupun dalam paket dalam bentuk serbuk pati sup. Sup-sup ini dijual dengan harga sekitar RM3 - RM4 ringgit Tak ada la mahal sangat tapi kalau dimasak sendiri lagi menjimatkan malah jika dijual sudah pasti menguntungkan.

Masak cream of mushroom cara barat ni lebih kurang sama dengan memasak cream of chicken soup yang pernah saya tunjukkan dalam entri yang lepas. Cuma kali ini saya jadikan ia lebih berperisa dengan menambah beberapa bahan. Tujuannya supaya anda boleh berfikir sejenak dan membandingkan dengan resepi cream of chicken soup seterusnya dapat meningkatkan pengetahuan dalam mempelbagaikan hidangan mengikut kesesuaian tanpa mengubah ciri-ciri masakan barat itu sendiri.

Bahan-bahan untuk Cream Of Mushroom Soup
1 cmt mentega
1 cmt tepung gandum
1 cmt bawang besar dicincang
1 cmt leek dicincang
1/2 L stok rebusan sayur
3 bj cendawan butang
1/2 cawan susu segar
garam dan gula

Cara membuat Cream Of Mushroom Soup
  1. Panaskan mentega dalam periuk sehingga cair.
  2. Tumiskan bawang besar dan leek sehingga layu sahaja.
  3. Masukkan tepung gandum dan kacau menggunakan whisk sehingga mendapat tekstur seperti pasir.
  4. Masukkan air rebusan sambil dikacau sehingga pekat dan tidak berketul.
  5. Jika suka, boleh masukkan kedalam blender dan kisar supaya bawang dan leek juga turut halus.
  6. Masukkan cendawan butang yang dicincang.
  7. Perasakan dengan garam, gula dan susu.
  8. Sedia untuk dihidangkan.

Tip masakan komersial

  1. Untuk resepi ini kalau boleh saya mahu anda rasa perbezaan antara sup yang menggunakan leek dengan yang tidak, sup yang menggunakan bawang dengan yang tidak serta sup yang menggunakan susu dengan yang tidak. Begitulah cara belajar yang betul. Kena beranikan hati, jangan takut mengeluarkan modal asalkan ilmu yang diperolehi boleh memberi pulangan dalam jangkamasa panjang.
  2. Oleh kerana bahannya yang lebih banyak daripada biasa, jadi harga jualan semangkuk sup sepatutnya lebih tinggi dari biasa. Bagaimanapun harga jualan sebenarnya bergantung kepada berapa banyak kos yang kita keluarkan. Jadi anda boleh mengawal kos dengan cara menetapkan dahulu harga jualan. Jika harga jual murah, tak perlu la gunaka leek, susu dan sebagainya. Harga jual juga berkadaran dengan rasa masakan itu sendiri.