Contoh Bisnes Atas Angin Yang Perlu Dijauhi
Posted by Norasikin Basri on Monday, January 16, 2012
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Contoh 1
Anda berminat pada perabot jadi yang anda nampak di sebuah kedai. Setelah merisik kepada tauke kedai, tauke kedai bersetuju untuk memberikan harga istimewa beli 3 percuma 1 kepada anda. Tanpa berlengah, anda mencari 3 orang rakan anda yang mungkin berminat membeli perabot yang sama. Akhirnya anda dapat juga 3 orang yang bersetuju bermain kutu selama 3 bulan. Setiap bulan, 3 orang rakan anda itu akan membayar sejumlah wang yang sama banyak untuk membeli 1 perabot dan diberikan kepada salah seorang mengikut giliran. Pada bulan ketiga, rakan anda yang ketiga akan mendapat perabot yang diingininya dan anda pula akan mendapat perabot yang sama secara percuma. Secara umumnya, konsep ini sama seperti menerima komisyen dimana apabila anda berjaya menjual, anda akan menerima komisyennya. Tetapi, apa perasaan kawan-kawan anda bila mereka tahu anda dapat perabot secara percuma sedangkan mereka terpaksa membayar selama 3 bulan?
Contoh 2
Anda ketua dalam sebuah organisasi. Seorang jurujual datang dan bertemu dengan anda untuk meminta izin mempromosikan sesuatu produk kepada staf-staf anda. Setelah melakukan perjanjian, anda mengumpulkan staf-staf anda dalam bilik mesyuarat agar staf-staf anda dapat menyaksikan promosi yang jurujual akan lakukan. Staf-staf anda yang berminat akan membeli produk yang ditawarkan sementara anda akan mendapat komisen dari setiap jualan yang dilakukan. Dalam waktu bekerja, kita sentiasa sibuk dengan tugas-tugas yang diberikan. Bila diarahkan ke bilik mesyuarat semata-mata kerana promosi jualan, menyebabkan banyak kerja yang tertangguh. Jika terpengaruh, terpaksa pula mengeluarkan wang untuk produk yang pada mulanya dirasakan tidak mustahak. Sebagai pekerja, kita terpaksa akur dengan arahan ketua tetapi pernahkah anda fikirkan tentang perasaan staf-staf anda? Bagaimana pula jika jurujual itu sebenarnya saudara-mara anda juga?
Contoh 3
Anda mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan uniform yang akan digunakan oleh seluruh organisasi yang anda sertai. Jadi andapun mencari pembekal yang bersetuju memberikan anda imbuhan atau pembekal dari kalangan saudara-mara anda atau anda mempunyai syer dalam syarikat pembekalan uniform, agar membekalkan uniform kepada semua pekerja. Dalam hal ini, biasanya organisasi akan membiayai semua perbelanjaan atau pekerja hanya perlu mengeluarkan sejumlah kecil wang untuk uniform baru dan selebihnya akan ditanggung oleh syarikat. Bagaimanapun ini tidak bermakna anda mesti menukar uniform pekerja setiap tahun sedangkan uniform sedia ada masih elok lagi. Walaupun pekerja tidak mengeluarkan sebarang belanja, tetapi tetap akan menimbulkan perasaan kurang senang orang lain. Kalau gaji yang anda terima tidak cukup, mengapa tidak berhenti bekerja dan terus menjadi usahawan sepenuh masa?
Contoh 4.
Organisasi anda mempunyai peruntukan kewangan dalam jumlah tertentu setiap tahun untuk digunakan bagi memperbaiki kemudahan syarikat. Oleh kerana salah seorang saudara anda mempunyai syarikat hiasan dalaman, atau anda sendiri mempunyai syer dalam syarikat hiasan dalaman, jadi semua peruntukan kewangan itu anda gunakan untuk mencantikkan ruang dalaman pejabat. Walaupun ramai yang memuji kecantikan pejabat anda namun, masih banyak lagi kemudahan lain yang diperlukan sedangkan anda hanya memperbaiki kemudahan yang boleh selenggara oleh syarikat yang anda ada kepentingan didalamnya. Tolong utamakan organisasi yang anda sertai kerana staf-staf yang lain bukan hanya mahukan ruang dalaman yang cantik sahaja. Takkan la jika anda mempunyai syer dalam kedai lampu, anda nak penuhkan seluruh ruang dengan lampu sedangkan tandas yang uzur tidak anda peduli...
Setelah membaca contoh-contoh diatas, adakah anda teringin menjalankan bisnes sebegini kerana menyangkakan ia sesuatu yang hebat? Jika sahabat anda melakukan bisnes begini kepada anda, adakah anda akan menganggap dia masih lagi sahabat anda atau lebih baik jika anda joint venture dan meraih keuntungan bersama?
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: wang mudah cepat kaya kerja senang bisnes atas angin motivasi tip perniagaan panduan buat duit
blog comments powered by Disqus



