Apa guna susah payah memasak kalau tukang makannya cuma kita seorang dua sahaja. Jadi bila kemalasan melanda, cold noodle adalah pilihan yang paling tepat. Sesuai dengan namanya, cold noodle bermaksud mi sejuk. Senang cerita mi tanpa dimasak yang orang bujang selalu panggil mi unplugged. Cold noodle tak sama dengan mi segera yang segalanya telah siap cuma tinggal dipanaskan sahaja. Mi ini terkenal dikalangan masyarakat cina dan kini jepun yang sentiasa mengejar masa. Orang Malaysia mungkin kurang menggemarinya kerana mereka lebih gemar menunggu untuk menikmati makanan yang panas. Kalau dihidangkan mi sejuk, mungkin mereka akan katakan mi lebihan semalam sedangkan kalau dihidangkan panaspun ada kemungkinan mi semalam yang dipanaskan juga.

Cold noodle sangat mudah. Saya tak nak la membuang masa mereka resepi yang dah sememangnya mudah. Adalah lebih baik memahami konsepnya agar anda dapat membuat apa sahaja hidangan ini mengikut citarasa sendiri. Apa yang paling penting, anda mesti ada mi yang segar. Sebaik-baiknya mi telur tetapi mi-mi lain pun boleh juga seperti mi kuning, mi suah atau yee mee. Boleh rujuk entri saya untuk resepi dan kaedah membuat mi kuning, dan mi telur.


Kedua, anda memerlukan sos. Apa sahaja sos kegemaran anda, sesuai digunakan. Boleh gunakan sos yang pedas, manis, masin atau kombinasinya contohnya sos cili, sos tiram, sos plum, sos hoissen. Kategori ini juga termasuk sos soya atau kicap dan seasoning. Campurkan apa sahaja yang ada dirumah anda dan dapatkan kombinasi yang sesuai. Kalau ada Maggi seasoning, pepper with seasoning, campurkan je asalkan seasoning.

Ketiga, anda boleh menggunakan minyak perasa untuk mendapatkan rasa masakan cina yang betul. Saya cadangkan minyak bijan adalah terbaik. Begitu juga dengan minyak bawang putih untuk bau dan rasa tumisan. Anda juga boleh menggunakan minyak cili untuk rasa yang pedas. Untuk berniaga, semua ini boleh disediakan lebih awal.


Dan akhir sekali, sudah tentulah air. Boleh guna air sejuk atau air panas. Boleh juga gunakan stok. Asalnya cold noodle memang tiada sayur-sayuran atau perencah lain seperti ayam, daging atau makanan laut. Tapi suka hati kita la kalau nak letak. Kalau sayur yang sesuai dimakan mentah, boleh terus disusun sahaja diatas mi. Paling baik jika menggunakan mi sayur-sayuran seperti mi bayam yang pernah saya tunjukkan dulu. Kalau sayur yang perlu dimasak, bolehlah direbus dahulu dan dituskan sebelum dicampur atas mi. Jika disusun udang, ayam atau telur diatas hidangan, pasti lebih menarik dan sedap lagi. Hidangan juga menjadi lebih seimbang.

Saya amat tertarik dengan cara usahawan jepun berniaga cold noodle. Laju sungguh mereka cedok, cedok dan cedok bahan-bahan mengikut jenis mi yang dikehendaki pelanggan. Macam orang jual air batu campur. Mi mereka juga ada yang dihidangkan dalam cawan kertas supaya pelanggan boleh makan sambil berjalan. Sampai macam tu sekali mereka menghargai masa.

p/s: Saya tak pernah lagi jumpa orang Melayu menjual cold noodle. Kalau cina memang banyak.