Suatu ketika dahulu saya pernah kata, daripada menjual pisang lebih baik menjual pisang goreng. Daripada jual ubi, lebih baik jual kerepek ubi. Inilah yang dimaksudkan dengan memberikan tambah nilai kepada produk sedia ada anda. Tak faham lagi? Macam ni la. Tak lama lagi kita nak berpuasa. Pasti ada anak muda yang berniat untuk menjual daun ketupat. Apa kata sambil-sambil menjual daun ketupat tu, anda jual juga kelongsong ketupat siap. Kalau tak pandai anyam, minta la sesiapa ajarkan cara menganyam ketupat. Dapat sejenis dua pun cukuplah. Kalau tak ada sesiapa yang sudi ajar atau malu nak belajar, boleh belajar melalui ebook Panduan Menganyam Ketupat. Bukankah kelongsong ketupat tu lebih tinggi harganya dari daun ketupat? Sambil menunggu pelanggan datang, boleh la anyam.

Pernah dulu saya hangin dengan seorang peniaga di stesen bas yang menjual murtabak tetapi tak menjual roti canai. Saya suruh tambah produk dan bukannya bersikap tamak dengan hanya menjual produk yang mahal je. Baru sekarang saya terfikir untuk mengongsikannya dengan anda semua kerana baru-baru ini saya dapati restoran tu pun dah tutup. Perbuatan menjual hanya produk yang mahal sahaja menyebabkan pelanggan anda berkurang kerana mereka hanya mempunyai pilihan sama ada membeli produk yang mahal atau tak beli langsung. Dalam kes ini, nampaknya pelanggan restoran itu memilih untuk tidak membeli langsung menyebabkan restoran itu terpaksa tutup. Begitu juga jika restoran anda ada menjual ais krim. Dengan tambahan sedikit kos dan persembahan yang menarik, boleh meningkatkan harga produk anda sekali ganda. Jangan pula anda lupakan produk anda yang asal. Jual kedua-dua versi dan jangan tamak. Tak takut bisnes bungkus ke?

Bahan-bahan untuk Chocolate Fudge Banana Split
1 scoop Ais Krim Vanila
2 scoop Ais Krim Coklat
1 bj Pisang
1 1/2 cmb Gula Pasir
60 ml Golden Syrup
1 cmt Nescafe
1/2 cmt Serbuk Kulit Kayu Manis
40 ml Krim Putar UHT
70g Coklat Masakan

Cara Membuat Chocolate Fudge Banana Split
  1. Bancuhkan nescafe dengan 1 cmb air panas.
  2. Masak gula, golden syrup, kulit kayu manis, larutan nescafe dalam periuk dalam periuk sehingga mendidih.
  3. Sementara itu, racik coklat masakan supaya mudah dicairkan.
  4. Setelah api dipadamkan, masukkan coklat masakan. Kacau sehingga semua coklat cair.
  5. Masukkan krim dan kacau sehingga mendapat larutan yang licin dan pekat. Biarkan sejuk.
  6. Masukkan ais krim dalam mangkuk. Susun pisang yang telah dipotong dan curahkan chocolate fudge tadi.
  7. Hiaskan sebelum dihidang.

Tip Masakan Komersial

  1. Hiasan ais krim memainkan peranan untuk meningkatkan harga produk. Boleh gunakan wafer sama ada gulung atau fan. Boleh juga menggunakan kekacang yang di panggang, krim putar, ceri dan sebagainya. Dapatkan kombinasi warna yang menarik.
  2. Gunakan pisang masak dan manis. Boleh gunakan pisang berangan atau carvendish. Pisang emas pun sesuai tapi kecil sangat. Sesuai jika anda hiris pisang kecil-kecil atau digaulkan bersama aiskrim.
  3. Anda boleh mengubahsuai chocolate fudge dengan perisa-perisa yang lain. Gunakan coklat berwarna untuk warna-warna yang lain. Macam mana caranya? Anda beritahu saya.
  4. Penggunaan coklat dalam fudge membolehkan fudge memekat apabila terkena ais krim yang sejuk. Tambahkan coklat jika fudge terlalu cair.