Saya pun tak ingat ntah bila, saya terbaca satu blog yang bercerita tentang cempedak goreng yang dibelinya berharga RM5 untuk 10 ketul. Marah betul dia kerana terpaksa membayar 50 sen seketul untuk cempedak goreng kegemarannya. Siap dibandingkan lagi, dengan RM5 tu dia boleh makan makanan lain sampai kenyang. Memang betul, RM5 kita boleh makan nasi beriani. Chicken chop pun ada yang dijual dengan harga RM5. Lepas baca blog tu, anak tekak saya pun teringin nak makan cempedak goreng. Jadi bila ke pasar, saya pun sambar la sebiji cempedak berharga lebih RM6.


Betul la. Cempedak memang mahal. Harga cempedak tu RM5.5 sekilogram. Tak pe lagi. Teringin punya pasal, beli juga la. Tapi bila kupas, cuma ada 9 ulas je didalamnya. Berapa harga seulas tu? Anda kira la sendiri. Itupun cempedak tu banyak yang rongak. Kalau isinya penuh, tentu lebih berat dan tentunya lebih berat dan lebih mahal. Itu belum kira kos tepung, minyak dan lain-lain lagi. Kalau macam ni, beli cempedak siap goreng jauh lebih murah. Cerita belum habis lagi....


Jika membuat pisang, keledek atau cempedak goreng, biasanya saya hanya menggunakan tepung gandum sahaja. Bahan lain macam biasa iaitu serbuk kunyit, garam dan air. Jarang sekali saya menambahkan tepung beras atau tepung-tepung lain yang boleh menjadikan gorengan lebih rangup. Ada juga peniaga yang menambahkan kapur dalam batter tetapi kapur akan bertindak balas dengan kunyit menjadikan adunan berwarna merah. Jadi biasanya mereka menggunakan pewarna kuning. Ada juga yang menambahkan sedikit minyak masak, bagaimanapun kalau tak kena cara mengacaunya akan menjadikan hasil gorengan lebih liat dari biasa. Satu lagi tip mendapatkan gorengan yang rangup yang diceritakan oleh seorang penjual pisang goreng yang berjaya adalah dengan menambahkan sedikit majerin. Majerin ini perlu dikisar bersama batter sehingga sebati. Tak ramai yang tahu rahsia ini. Antara banyak-banyak resepi batter, cara ini yang saya suka kerana mejerin bukan sahaja menjadikan gorengan rangup, malah lebih sedap dan wangi. Malangnya saya tak suka cuci pengisar saya.


Saya lebih gembira dengan cara saya iaitu tidak menambahkan apa-apa. Serbuk perasa jauh sekali. Saya lebih gemar menggunakan teknik gorengan dan bukannya menambah bahan tertentu yang boleh maningkatkan kos. Pertama, suhu minyak mesti sangat panas tetapi bukan sehingga berasap. Kita boleh mengagak kepanasan minyak yang sesuai dimana apabila batter dititiskan, ia akan timbul serta merta tetapi bukan serta merta hangus. Jika menggunakan dapur gas bertekanan tinggi, ia lebih mudah tapi saya hanya menggunakan dapur gas biasa dan masih tiasa masalah. Kedua, jika kita perhatikan pisang goreng yang dijual digerai, mereka menggunakan tangan sahaja dan ini menyebabkan banyak adunan yang menitis dalam kuali. Titisan ini akan melekat pada gorengan yang dimasukkan selepas itu. Ini menjadikan gorengan mereka banyak kerak yang rangup. Kalau di Indonesia, ia dipangil kremes. Jadi, apa kata sebelum kita goreng cempedak, kita titiskan dahulu batter sebanyak yang kita hendak sebelum memasukkan cempedaknya. Dan hasilnya adalah seperti gambar-gambar cempedak goreng diatas.

Bila direnung-renung semula, saya rasa memasak sendiri tetap lebih berbaloi walaupun terpaksa berbelanja besar untuk bahannya. Saya lebih puas menikmatinya. Cempedak goreng dihasilkan mengikut kehendak saya. Anak saya pula gembira menikmati keraknya yang banyak dan rangup. Dan cempedak yang saya beli ni rupa-rupanya mempunyai isi yang tebal, manis dan yang paling syok tak ada biji langsung. Syukurlah. Saya ingatkan dah rugi sebab beli cempedak, rupa-rupanya Allah masih menyebelahi saya.