Pasta juga merupakan salah satu sumber karbohidrat yang utama dalam hidangan masakan barat. Sejak diperkenalkan oleh kaum cina, masyarakat barat terus menggemari pasta dan kemudiannya mengubahsuai bahan-bahan dan bentuk pasta mengukit citarasa mereka. Kalau nak cerita mengenai jenis-jenis pasta, memang panjang. Lain rupa, lain namanya. Nak sebut pun susah. Bagi orang Malaysia, semuanya dipanggil mi. Spinach pasta seperti ini boleh dibeli dengan mudah di Malaysia. Ada yang dijual dalam bentuk kering, dan basah. Jika spinach pasta basah, ada dijual dalam bentuk segar atau belum direbus. Di pasar raya, mi yang belum direbus dibungkus dalam plastik vakum untuk tahan lebih lama.


Bahan-bahan untuk Spinach Pasta.
500g Tepung Gandum Pelbagai Guna
50g Bayam
2 bj Telur Ayam A
1 cmb Minyak Masak
Air untuk merebus

Cara Membuat Spinach Pasta

Doh yang dihasilkan keras dan kering.


Setelah direhatkan, ditambah minyak dan diuli semula, doh lebih lembut dan licin
 

Leperkan dan sapukan tepung lagi 


Lipat kiri dan kanan supaya tepung tidak bersepah sewaktu dileperkan.


Lipat dan leperkan beberapa kali lagi


Potong menjadi pasta, gaul dengan tepung lagi dan gulung


Rebus sehinga masak.
  1. Bersihkan bayam dan potong kecil bersama dengan batang-batangnya.
  2. Dengan menggunakan blender, kisar bayam dan telur sehingga halus.
  3. Asingkan serat-serat bayam yang panjang menggunakan garfu. Serat ini biasanya dari kulit batang bayam yang terlalu tua dan mungkin menyukarkan proses membuat pasta.
  4. Asingkan sedikit tepung lebih kurang 100g dan bancuhkan dengan bahan kisar tadi.
  5. Uli sehingga mendapat doh yang sedikit keras. Gunakan tepung yang diasingkan tadi untuk mendapatkan doh yang lebih keras.
  6. Rehatkan sebentar lebih kurang setengah jam untuk doh mengembang.
  7. Setelah doh direhatkan, uli semula sampai doh licin.
  8. Masukkan minyak masak dan uli lagi dan bentukkan menjadi doh bujur dan panjang.
  9. Gunakan pisau dan potong doh nipis lebih kurang 1 cm sesuai dengan mesin pencanai anda.
  10. Leperkan secara berperingkat untuk mendapatkan ketebalan pasta yang anda kehendaki.
  11. Lipat dan leperkan lagi beberapa kali tetapi kali ini taburkan tepung gandum ditengahnya untuk mendapatkan doh yang betul-betul keras dan padat.
  12. Selesaikan semua doh dan jika perlu gunakan lebih banyak tepung lagi.
  13. Setelah selesai semuanya, barulah di potong menjadi pasta.
  14. Panaskan air yang banyak melebih 2L sehingga mendidih.
  15. Masukkan pasta dan gaul supaya ia masak rata.
  16. Sebaik sahaja air mulai mendidih semula, tutup api dan tuskan. Pasta sedia digunakan.


Tip Masakan Komersial
  1. Jangan ditapis bayam yang telah dikisar kerana ini sangat merugikan. Hanya keluarkan sahaja serat-serat yang kasar dan panjang. Serat-serat ini selalunya bergumpal sesama mereka dan berwarna jernih seperti tali nylon.
  2. Jika menggunakan mesin komersial seperti dough sheeter, anda hanya perlu menggaulkan bahan kisaran dan tepung gandum sekaligus sehingga mendapat tekstur crumb yang kasar. Tuangkan sahaja dalam dough sheeter dan mesin akan memadatkan adunan sehingga menjadi kepingan pasta.
  3. Saya memang tak larat nak uli adunan keras-keras jadi saya akan menambahkan tepung gandum yang banyak sewaktu melipat dan meleperkan doh. Saya akan menaburkan lebih kurang 1 cmb tepung dan melipat doh kiri dan kanan (seperti gambar) agar tepung yang tidak berterabur. Dengan cara ini, saya hanya perlu menaburkan tepung sekali sahaja dan seterusnya hanya melipat dan meleperkan sahaja beberapa kali lagi.
  4. Setelah memotong doh kepada bentuk pasta, ia perlu direbus dengan segera. Jika anda mahu menyimpannya, anda perlu menaburkan sedikit tepung dan disimpan dalam peti ais dalam bekas bertutup atau plastik. Anda juga boleh menggulung dan melipat pasta ini dalam saiz satu hidangan dan disimpan diatas rak pameran di gerai pasta anda. Hanya rebus pasta yang secukupnya mengikut tempahan yang anda terima. Dengan cara ini, anda dapat menghidangkan pasta yang segar dan berkualiti kepada pelanggan anda.
  5. Setelah pasta direbus dan di tuskan, ia perlu dimakan segera. Bagaimanapun, untuk menyimpan, anda perlu merenjiskan sedikit minyak masak sewaktu ia masih panas agar ia tidak melekat sesama mereka. Jika adunan cukup keras, anda akan mendapat pasta yang kenyal dan tidak akan melekat semula setelah sejuk apabila disapu dengan minyak.
  6. Sesetangah tukang masak, gemar merendamkan pasta yang telah direbus dalam air sejuk sebaik sahaja ia masak. Menurut mereka, ini boleh menjadikan pasta lebih kenyal. Cara ini lebih sesuai jika anda merebus pasta dalam kuantiti sedikit kerana anda perlu merendam pasta dalam air yang sangat banyak. Jauh lebih banyak dari air yang digunakan untuk merebus. Rendaman ini akan membilas kanji-kanji yang menyaluti pasta. Inilah yang mereka katakan kenyal kerana pasta yang bersih tidak licin dan lebih berkilat.
  7. Sebagaimana anda menjaga bayam segar, begitulah caranya untuk menjaga pasta bayam ini. Anda boleh mengeringkan pasta yang belum direbus dibawah cahaya matahari atau dalam oven dengan suhu 60C selama 8 jam bergantung kepada ketebalan pasta. Boleh juga digaulkan dengan tepung dan simpan dalam plastik vakum didalam peti ais. Setelah direbus, anda boleh menyimpan dalam bekas kedap udara didalam peti ais untuk 3 hingga empat hari.