Tunggang-langgang nama resepi ayam panggang tu. Masakan barat memang macam tu. Lebih mudah menyebut Ayam Panggang dengan Mentega, Madu dan Herba. Saya memang suka masakan barat kerana bahan yang diperlukan tak banyak. Kalau ada banyak, pakai banyak. Kalau tak banyak, tak menjejaskan masakan. Masakan barat memang mementingkan rasa asli bahan utamanya jadi perencahnya tak banyak. Bagaimanapun, ada juga ciri masakan barat yang saya tak suka iaitu proses menyediakannya banyak dan leceh. Banyak peralatan yang perlu digunakan. Jom tengok resepi Butteres Roasted Chicken with Homey and Herbs dulu untuk memahami apa yang saya maksudkan.


Bahan-bahan untuk Buttered Roasted Chicken with Honey and Herbs
1 ekor ayam tidak dipotong
¼ cwn Madu
50g Mentega
1 ulas Bawang Putih
1 cmb Gula
1 cmt Garam
½ cmt Dried Mix Herbs
½ cmt Serbuk Lada Hitam
2 bj Kentang
1 bj Bawang Besar
2 bj Tomato
1 btg Carrot
2 btg Giant Celery


Cara membuat Buttered Roasted Chicken with Honey and Herbs
  1. Ayam dibersihkan luar dan dalamnya. Potong lehernya jika kelihatan tidak cantik. Tuskan dengan cara menggantung ayam ditempat kering dan berangin kira-kira ½ hingga 1 jam.
  2. Kentang, bawang besar, tomato, carrot dan celery dibersihkan dan dipotong kasar-kasar. Gorengkan sayur-sayuran yang lambat empuk seperti kentang dan carrot dengan sedikit minyak atau mentega sehingga empuk.
  3. Panaskan madu, mentega, bawang putih yang dicincang, gula dan garam sehingga sedikit pekat. Tutup api dan biarkan bahan perapan menyejuk sedikit sehingga boleh di pegang.
  4. Sapukan bahagian luar dan dalam ayam dengan bahan perapan yang dimasak tadi. Sapukan rata-rata menggunakan tangan atau berus. Lagi tebal lagi bagus.
  5. Truss ayam seperti yang pernah saya videokan dalam Artikel Teknik Mengikat Ayam. Sapu lagi perapan jika perlu.
  6. Letakkan ayam atas dulang pembakar, taburkan sayur-sayuran yang dipotong kasar disekeliling ayam.
  7. Lebihan bahan perapan, bolehlah digunakankan keatas sayuran. Boleh direnjis sahaja atau digaulkan sekaligus. Simpan lebihan bahan perapan dan jangan dihabiskan atau dibuang.
  8. Taburkan mix herbs dan lada hitam keatas ayam dan sayur-sayuran.
  9. Bakar didalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 250˚C selama 1 jam hingga 1 ½ jam bergantung kepada saiz ayam. Sekali sekala, sapukan lebihan bahan perapan terutama dibahagian yang kering dan berkemungkinan hangus.
  10. Setelah masak, angkat ayam, buka ikatan dan letakkan diatas pinggan hidang. Jus dan sayur-sayuran dimasak sekali lagi diatas api sehingga sos menjadi pekat.
  11. Untuk menghidang, hiris ayam nipis-nipis dan susun atas pinggan makan.
  12. Curahkan sos keatas ayam dan hidangkan panas-panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Sayur-sayuran yang lambat empuk perlu digoreng dahulu agar kita tak perlu memikirkannya lagi sewaktu membakar ayam. Dengan cara ini, 100% konsentrasi hanya perlu ditumpukan kepada ayam sahaja.
  2. Madu sesuai digunakan bersama ayam panggang kerana rasa dan khasiatnya. Selain itu ia juga menjadikan warna ayam panggang lebih cantik. Bagaimanapun terdapat banyak jenis madu yang sedikit cair. Oleh itu memasak bahan perapan terlebih dahulu lebih mudah disapu. Tetapi jangan sampai minyak dari mentega terasing dari bahan yang lain.
  3. Banyak sayuran boleh digunakan. Saya harap anda gunakan apa sahaja sayuran yang ada dan jangan bergantung kepada idea saya sahaja. Lada benggala, jenis timun, jenis ubi, kekacang dan sebagainya semuanya sesuai. Ingat, saute dahulu bahan yang lambat empuk.
  4. Memasukkan sayur-sayuran dalam perut ayam juga baik asalkan anda dapat pastikan sayuran dapat masak. Masyarakat barat gemar memasukkan kruton dalam perut ayam. Kalau nak tahu apa itu kruton, rujuk artikel saya mengenai Resepi Caesar Salad
  5. Masyarakat barat percaya setelah masak, segala khasiat bahan yang digunakan akan larut ke dalam jus. Saya pernah terjumpa orang putih yang makan tomyam tetapi hanya makan kuahnya sahaja. Bila ditanya kenapa?, dia jawab “Everything inside.” Oleh itu orang barat akan memasak sayuran dalam step 10 tadi sehingga hancur dan kemudian menapisnya. Hanya sosnya sahaja digunakan dan selebihnya akan dibuang. Kenapa? “Semua dah ada dalam tu”
  6. Bahagian paling penting dalam resepi ini adalah ketika membakar ayam. Pemilihan oven menentukan rupa ayam panggang yang terhasil. Kalau nak cerita pasal setiap jenis oven, memang saya tak larat. Tapi saya percaya, andalah yang benar-benar memahami oven anda. Untuk oven tanpa setting apa-apa, memang kena bakar sehingga 1 ½ jam. Oven yang menggunakan turbo fan, perlu dimatikan fungsi fan nya dan dikurangkan suhunya mungkin sekitar 180˚C selama sekurang-kurangnya 1 ¼ jam. Jika tidak, ayam anda akan hangus dalam masa ½ jam sahaja. Paling sesuai adalah oven dengan infra red atau yang lebih canggih dari itu. Masa memasak lebih cepat, pembakaran lebih sekata dan isi ayam lebih berjus.
  7. Memanggang seekor begini juga sesuai untuk microwave oven tetapi bukan jenis yang hanya untuk memanaskan makanan tu. Gunakan conventional microwave oven tetapi harganya melebihi RM700 atau mungkin sekarang dah melebihi RM1000.
  8. Jika oven menjadi puncanya, saya cadangkan anda belah ayam dan kembangkan (butterfly) agar Jumlah Luas Permukaan Per Isipadu (JLP/I) ayam menjadi besar. Ini menjadikan ayam lebih cepat masak. Kalau nak lebih memahami JLP/I sila rujuk buku sains atau biologi sekolah menengah.
  9. Melindungi kulit ayam dari haba terus seperti membungkus dengan aluminium foil, menutup dengan pastry atau kain maslin juga sesuai tapi saya memang tak gemar. Dah la leceh, nak tengok keadaan ayam pun tak nampak, jadi saya tak nak cerita pasal ni. Jangan pulak gunakan microwave untuk ayam yang dibalut dengan aluminium foil. Satu hari pun tak masak. Kalau alaskan dengan aluminium foil lebih baik. Tak la penat sangat menyental dulang pembakar.
  10. Kaedah menentukan ayam dah masak atau belum sebaik-baiknya dengan menggunakan thermometer khusus untuk ini. Cara paling mudah dan jimat, anda cucuk sedikit bahagian ayam yang paling tebal untuk melihat dalamnya. Jika isinya telah berwarna putih, bermakna ayam telah masak. Saya hiriskan ayam besar-besar supaya anda nampak warnanya.

p/s Agak-agak, saya pakai oven yang macam mana untuk ayam hangit saya dalam gambar kat atas tu?