Menjelang Ramadhan nanti meriah la kawan-kawan kita mempromosikan kuih raya. Masing-masing memberikan sample kuih raya untuk dirasa. Peniagaan kuih raya ini memang berbaloi jika kena dengan caranya. Mesti anda terfikir, bagaimana mereka menyediakan kuih raya sebagai sample. Takkan nak buat 20 biji biskut je setiap jenis. Mesti leceh dan menggunakan kos yang tinggi. Sebenarnya jika kita teliti, kebanyakan biskut yang dijual dipasaran menggunakan satu asas yang sama. Cara ini paling menjimatkan. Buat satu adunan sahaja dan bahagikan kepada 10 bahagian. Pelbagaikan rasa, bentuk dan warna untuk menghasilkan 10 jenis biskut yang berbeza. Percaya tak apa yang saya katakan? Anda buktikan sendiri. Pada hari raya ini, beli 10 jenis biskut dari pengusaha yang sama dan rasa sendiri.

Asas Biskut Mentega

Bahan-bahan
250g mentega
330g tepung gandum
85g tepung jagung
169g gula halus
1 bj kuning telur
1/2 cmt serbuk vanila
Secubit garam

Cara-caranya
Pukul mentega dan gula sehingga kembang. Resepi ini tidak menggunakan sebarang bahan penaik jadi biskut ini akan naik secara semulajadi bergantung kepada berapa kembang gula dan mentega yang dipukul.
Masukkan kuning telur dan vanila dan gaul rata. Putih telur pula boleh digunakan untuk disapu pada biskut. Jadi jangan dibazirkan.
Masukkan tepung gandum, tepung jagung, dan garam yang telah digaul terlebih dahulu dan sebatikan dengan kaedah gaul ramas.
Adunan biskut telah sedia dibentuk dan dihias. Boleh gunakan acuan terap, semprit, piping dan sebagainya.
bakar pada suhu 180C selama 10-12 minit bergantung kepada saiz biskut.

Idea kepelbagaian biskut
Menggunakan mentega mungkin sedikit mahal tetapi anda boleh menggantikan dengan majerin dan masukkan sesudu susu segar atau susu tepung. Walaubagaimanapun kita dapat membezakan sama ada biskut yang dijual itu menggunakan mentega atau majerin melalui harganya. Jika harga biskut 50 biji melebihi RM15.00 dan tak ada rasa mentega, ini bermakna anda telah ditipu. Campakkan biskut tu kat muka penjualnya.
Anda boleh menggunakan serbuk koko untuk mendapatkan biskut coklat. Kulit oren dan perisa oren untuk biskut oren. Kelapa kering untuk biskut kelapa. Atau campurkan terus cornflake dan masukkan dalam mangkuk kertas. Boleh juga dibentuk seperti perahu dan masukkan jam atau coklat. Gunakan pelbagai kacang yang telah dibakar untuk menghasilkan biskut kacang. Masukkan ini yang sesuai seperti kacang, coklat, atau jam kedalamnya. Warnakan beberapa bahagian dan jadikan biskut berbentuk dam, gelung dan sebagainya. Dah berapa jenis biskut tu? Saya rasa cukup la tu. Kalau anda ada idea best lain dari yang lain, sila masukkan dalam ruangan komen.

Tip perniagaan komersial
Utamakan rasa dalam membuat kepelbagaian. Menggunakan bahan yang mempunyai rasa yang kuat seperti koko, kopi, lemon, kacang paling sesuai supaya pelanggan sukar mencari persamaan.
Berikan nama biskut yang menarik, yang boleh menyebabkan orang bertanya 2 kali seperti biskut janda berhias, biskut coklat berdiri kencang dan sebagainya.
Menggunakan warna yang terang boleh menarik minat terutamanya kanak-kanak. Boleh dihias menggunakan coklat rice, gula berwarna warni, krim gula dan lain-lain lagi. Gunakan bahan-bahan yang murah tapi dihias macam mahal.