Saya ni kalau ada masa terluang, ada je benda yang saya teringin nak masak. Agak-agak rasa boring je, saya pun selongkar la dapur mencari apa-apa yang boleh dijadikan makanan. Selongkar punya selongkar, terjumpa la daging korban tahun lepas. Sebelum daging tu jadi fosil, baik saya jadikan kraftangan. Boleh jugak anak saya bawa bekal ke sekolah. Kebetulan memang dia ada minta buatkan burger untuk dia. Anak saya tu memang macam tu. Main order je apa-apa yang dia rasa teringin nak makan. Ingat rumah saya ni restoran ke?

Jadi saya mula la memproses daging korban tu. Selepas di trim, cuma separuh je daging. Separuh lagi lemak. Kira cukup la tu. Saya kisar menggunakan blender bijirin biasa je. Rumah saya mana la ada alat-alat canggih. Setakat blender dengan jugnya yang dah retak tu je la yang saya guna hari-hari. Lemak lembu tu memang saya tak gunakan. Kalau daging burger yang dijual di pasaran, kebanyakkannya mengandungi banyak lemak. Menggunakan lemak dalam daging burger boleh menghasilkan daging yang lebih lembut dan berjus. Tapi bila saya buat burger untuk keluarga, saya akan pilih makan yang sihat berbanding makanan yang sedap. Resepi daging burger pulak saya hanya gunakan apa yang ada di dapur je. Kalau anda nak resepi daging burger yang syok, boleh belek Resepi Burger Citarasa Barat. Saya kepal daging burger besar-besar dan tebal. Barulah puas hati bila makan.

Esoknya baru saya buat roti burger. Nak sesuaikan dengan daging burger yang besar dan tebal, saya buat roti burger yang juga besar. Lebih kurang 100g untuk sebiji roti. Kat kedai memang tak ada jual roti burger yang besar. Kalau nak, buat burger gergasi, kena la buat sendiri. Sambil tu, saya nak umumkan, saya dalam proses untuk menghasilkan ebook resepi roti komersial. Resepi roti ini memang direka untuk usahawan. Hasilnya sudah pasti setanding dengan roti-roti yang berada di pasaran.

Bila dah ada daging burger, roti burger dan sos yang semuanya saya buat sendiri serta sedikit sayur, barulah kami sekeluarga berkumpul dan menikmati burger bersama-sama. Ada lebih lagi, boleh la anak saya bawa ke sekolah esok. Tengok la dia makan burger gergasi tu. Tak muat mulut. Berpeluh-peluh dia makan sebab kena nganga mulut besar-besar. Syok! Lepas ni, setakat burger kecik yang dijual tu, memang sekali ngap je terus terselit celah gigi.