Seringkali apabila saya ke restoran makanan segera McD, saya akan memesan Big Mac ataupun Quarter Pounder.  Apa yang menyebabkan saya mengemari  burger-burger tersebut ialah kerana dagingnya yang berjus dan rasanya yang benar-benar menepati citarasa saya. Saya mahukan setiap hidangan barat yang saya makan mestilah bercitarasa barat dari sagala aspek termasuklah rasa, bau , dan rupa. Dah banyak kali saya beli burger di gerai-gerai dan mendapati mereka manambah rempah kari atau kurma sewaktu menggoreng daging burger. Pada saya, ini tidak sesuai langsung.

Malangnya kini, burger kegemaran saya sudah kurang memuaskan hati saya. Bukan dari segi kualiti tetapi dari segi kuantitinya.  Daging burgernya sudah tidak mencukupi buat saya. ¼ pound daging pun makan tak kenyang. Takkan nak order 2. Malu la. Lagipun harganya semakin meningkat. Quarter Pounder pun tidak dijual sepanjang tahun. Kadang-kadang ada, selalunya tak ada.

Sebagai penyelesaian kepada masalah ini, maka sayapun mereka resepi burger mengikut citarasa saya dan terhasillah Burger Daging Citarasa Barat. Anda boleh mencubanya jika ingin mengenali citarasa barat yang saya maksudkan.



Bahan-bahan A

  1. 700g Daging cincang
  2. 1 bj Kuning telur
  3. 1 cmb Bawang besar dicincang
  4. 1 ulas Bawang putih
  5. 1 cmb Sos Worcestershire
  6. 1 cmt Garam
  7. 1 cmt Gula
  8. ½ cmt Serbuk rosmary
  9. ½ cmt Serbuk oregano
  10. 1 cmb Keju parmesan yang diparut

Bahan-bahan B

  1. 10 kpg Roti burger
  2. ½ cwn Sos tartar (Buat sendiri sos Tartar melalui Panduan & Resepi Masakan Barat Komersial)
  3. ½ cwn sos cili
  4. 1 cmt majerin/mentega
  5. 10 kpg Daun salad (Lettuce)
  6. 10 kpg Timun dihiris nipis

Cara-caranya


Gaulkan semua bahan A sehingga sebati. Bahagikan kepada 10 bahagian dan bentukkan menjadi kepingan patty. Goreng diatas kuali leper dengan api yang sederhana. Gunakan sedikit minyak supaya tidak melekat. Biarkan sehingga sebelahnya masak kira-kira 2 minit. Jangan paling sebelum ia masak untuk mengelakkan daging burger berderai. Tidak perlu menekan-nekan daging burger kerana ia akan menyebabkan jusnya hilang. Kalau daging burger yang dibeli memang perlu ditekan-tekan untuk mengeluarkan lemaknya. Adalah lebih menyihatkan jika membuat burger sendiri dirumah.

Untuk bahan B tak perlu la diceritakan panjang lebar lagi. Rasanya semua orang dah tau. Belah roti, sapu mentega/marjerin. Bakar diatas kuali leper sekejap. Aturkan timun, salad, tambahkan sos tartar dan sos cili. Lapiskan dengan daging burger dan tutup dengan roti diatas sekali. Sedia untuk dimakan.

Nsihat saya, pastikan anda hidangkan makanan yang sihat dan berkhasiat untuk keluarga anda.