Saya memang suka buat kuih yang mudah dan ringkas tapi yang penting mesti sedap. Bila resepi yang digunakan mudah dan ringkas, maka mudahlah untuk kita mengubahsuai bergantung kepada bahan-bahan yang sedia ada di rumah. Saya memang malas nak keluar rumah semata-mata nak beli satu je barang yang diperlukan untuk sesuatu resepi. Apa lagi bila bahan yang diperlukan itu jarang-jarang digunakan. Biasanya barang seperti ini akan terbuang begitu sahaja kerana tak banyak digunakan dalam resepi lain.

Biskut bijirin ni saya buat kerana saya baru perasan, dirumah saya terdapat banyak nestum. Kalau tak dijadikan kraftangan, mungkin akan luput beberapa bulan lagi. Pertama kali anak saya rasa biskut ni dia kata "Emmm.. sedap!. Rasa macam kertas pasir!" Hangin jugak bila dia kata macam tu tapi kemudian barus saya sedar, dia hanya meniru dialog dalam kartun Boboiboy je. Lihat la gambar dia tengah makan tu. Ada macam tengah makan kertas pasir ke?

Bahan-bahan untuk Biskut Bijirin Nestum
100g gula pasir dikisar
100g majerin
1 bj telur A
1 cmb jus limaukasturi @ lemon
1 cmt esen vanila
1 cmt baking powder
90g tepung gandum
120g bijirin nestum

Cara membuat Biskut Bijirin Nestum
  1. Pukul gula pasir dan mentega sehingga kembang menggunakan senduk.
  2. Masukkan telur, vanila dan jus dan dikacau sehingga bersatu.
  3. Campurkan tepung dan baking powder dan gaulkan dahulu sebelum dimasukkan dalam adunan tadi. Gaul lagi sampai mendapat adunan yang sangat lembik.
  4. Akhir sekali baru dimasukkan bijirin nestum. Gaul perlahan supaya nestum tak terlalu hancur.
  5. Sudukan kecil-kecil letak atas dulang pembakar yang telah digris. Tekan menggunakan garfu supaya leper.
  6. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180C dengan turbo fan selama 10 minit.

Tip Masakan Komersial

  1. Tak seperti Biskut Coklat Barat, biskut ini tidak menggunakan soda bikarbonat jadi ia tidaklah mengembang besar sangat. Memang sangat sesuai dibuat kuih raya.
  2. Jika anda perhatikan, tepung yang digunakan hanya tepung gandum biasa jadi kerangupan biskut ini bergantung penuh kepada kerangupan bijirin itu sendiri. Jika anda menggunakan bijirin yang betul-betul rangup, maka ranguplah biskut yang anda hasilkan. Cubalah menggunakan bijirin sarapan yang lain. Anda juga boleh menambahkan bahan yang boleh membuatkan biskut anda lebih rangup atau tambahkan sahaja 1 cmb tepung jagung. Kalau nak lagi rangup, boleh gunakan tepung kentang. Ini baru sesuai dinamakan biskut kertas pasir.
  3. Saya memang suka memaparkan bahan asas sahaja supaya anda dapat mengubahsuai menjadi berbagai jenis biskut lain dengan memahami sifat sesuatu bahan yang digunakan. Gantikan sahaja bijirin nestum dengan kekacang, bubble rice, memasukkan perasa, serbuk koko untuk membuat biskut jenis lain. Yang penting hiasannya mesti gah. Saya hanya menggunakan chocolate rice yang ditekankan pada adunan menggunakan tapak tangan sahaja sebagai hiasan.

p/s : Leganya dapat berehat di tepi pantai. Mandi makan tido je sepanjang hari. Nasib baik hujan lebat dan angin kuat semalam. Kalau tidak mungkin saya lepak dalam khemah ditepi laut sampai esok.