Setelah berkali-kali mengeluarkan entri berbentuk resepi masakan, terasa penat juga. Tambahan pula hari-hari bekerja di dapur yang panas dan bahang, ada baiknya saya keluarkan entri yang sedikit ringan dan santai. Tak larat lagi nak fikir bagaimana nak menggalakkan pembaca blog ini berniaga khususnya dalam industri makanan. Akhirnya saya membuat keputusan keluar beriadah bersama keluarga dengan berenang di Kompleks Renang MBJB. Kalau beriadah di Hutan Bandar, cuma anak saja yang dapat mandi kolam. Di sini kami sekeluarga dapat berenang bersama. Nak berenang dilaut, rasa tak sampai hati pula bila melihat warna air yang macam longkang. Nak pergi Pantai Air Papan, Mersing, terasa jauh pula.

Sewaktu di kampung, saya berpeluang berenang di Kolam Air Panas Labis atau bermandi manda di Hutan Lipur Taka Melur yang hanya berapa kilometer dari rumah saya. Bila tiada cuti, dengan keadaan dibandar ni, di sini saja lah tempat kami sekeluarga berenang-renang. Namun begitu, bila cuti ke kampung, saya pasti tidak melepaskan peluang mengunjungi tempat menarik di kampung. Rugi la kalau tak pergi. Bukan jauh sangat. Jalan kaki pun sampai.

Kembali semula cerita pasal Kompleks Renang MBJB. Kompleks ini terdiri dari 2 kolam renang bersaiz olimpik. Terasa sangat luas. Nak pusing satu round pun terasa pancit. Kemudahan yang disediakan juga serba lengkap. Tandas, bilik mandi dan tempat menyalin pakaian berderet-deret. Kolam dikelilingi pokok-pokok rimbun. Jadi tak terasa sangat la berada di tengah bandar. Biasanya pada hari biasa, tanpa kejohanan sukan, hanya sebuah kolam dibuka untuk umum manakala sebuah lagi dikhaskan untuk atlit dan bakal atlit renang dan terjunan menjalani latihan. Syok juga bila melihat kanak-kanak yang begitu muda sekitar 5 atau 6 tahun berlatih terjunan. Rasanya, saya pun tak sanggup terjun dari tempat setinggi tu. Di kompleks ini memang disediakan platforn dan papan anjal untuk mereka.

Dan paling penting dan paling saya suka, tempat ini tidak terlalu sesak dengan pengunjung. Saya memang lemas kalau duduk ditempat yang sesak, sempit dan dipenuhi orang lalu-lalang. Jadi tempat ni memang sesuai la kalau nak beriadah. Bayaran masuk pun tak mahal. Hanya RM4 satu sesi dan separuh harga untuk kanak-kanak. Boleh juga menjadi ahli untuk sebulan, 6 bulan atau setahun untuk bayaran yang lebih rendah. Kalau memerlukan jurulatih renang, tanya je kat kaunter pembayaran. Didalam bangunan yang sama juga terdapat gimnasium yang lengkap dengan pelbagai peralatan. Harapan saya, semoga kita semua sentiasa sihat sejahtera, kelihatan muda dan bertenaga. Bila la nak ada rumah dengan kolam renang sendiri...