Salah satu hobi saya apabila berjalan-jalan tanpa tujuan, adalah memerhati makanan yang dijual oleh usahawan-usahawan kecil. Ingin juga melihat produk makanan yang dijual di restoran besar tetapi cuma nampak dari jauh je la. Kalau gerai, kita boleh belek dari dekat. Siap boleh interview tukang masaknya sekali. Apa yang saya cari adalah produk makanan yang kreatif, unik dan lain dari yang lain. Dah jemu tengok produk makanan yang sama je dijual merata tempat. Jalan sampai beratus-ratus kilometer pun masih nampak benda yang sama. Ayam goreng, nugget ayam, keropok lekor sampai lima enam gerai dikawasan yang sama. 



Saya sering menekankan kepada sesiapa sahaja agar jangan takut untuk bereksperimen. Konsep saya adalah mudah. Makanan bila dicampur dengan makanan, akan menghasilkan makanan juga. Bezanya cuma rasa sama ada sedap atau tidak. Setiap hasil boleh dibaiki agar ia menjadi sesuatu yang lebih sedap. Bila dah cukup sedap, bolehlah dipanjangkan dengan memasarkan secara segar, sejukbeku atau boleh juga dijual resepinya kepada sesiapa yang berminat.



Baru-baru ini saya berpeluang menguji keupayaan pelajar saya dalam mencari idea untuk produk makanan mengikut kreativiti sendiri. Saya memberikan sosej dan jagung sebagai bahan utama dan terpulanglah kepada mereka bagaimana makanan yang ingin mereka hasilkan. Mereka boleh menggunakan segala bahan dan peralatan yang ada dalam bengkel masakan tetapi mesti menggunakan 2 bahan utama yang diberi tadi.



Gambar-gambar dalam entri inilah hasilnya. Ada yang berakal panjang dengan menukar bahan utama menjadi rupa dan rasa yang tak disangka. Ada juga yang cuma mampu mengekalkan kepada keadaan asal. Bagaimanapun saya dapati masih banyak yang perlu mereka pelajari dengan memahami lebih banyak sifat-sifat bahan.



Kebanyakkannya masih mengekalkan ciri masakan barat dalam mencari idea masakan yang boleh dihasilkan dengan sosej dan jagung. Sosej dipotong dalam berbagai rupa kemudian digaul bersama jagung dan dimakan bersama sos perang atau lada hitam. Saya rasa jemput-jemput sosej dan jagung lebih kreatif lagi. Apa lagi bila ditambah yis atau serbuk penaik seperti cucur udang.




Seterusnya adalah penggunaan roti sebagai sumber karbohidrat. Menggulung roti dengan sosej lebih kreatif berbanding hanya membakar roti menjadi garlic bread sahaja. Penggunaan tortilla yang dibuat sendiri juga kreatif. Bagaimanapun, saya ingat lagi, memang budak ni yang saya pertanggungjawabkan untuk membuat tortilla sewaktu program jualan di kolej dahulu. Tak aci la macam ni sebab kawan-kawan lain tak dapat kemahiran ni.



Cuma seorang je yang berani menghidangkan nasi. Bagaimanapun saya dapati nasi yang dihidangkan tak ada kena mengena dengan bahan yang diberikan. Setakat menjadi pengiring kepada hidangan utama sedangkan saya mahukan bahan yang diberikan menjadi hidangan utama dalam menu.



Tiada yang berani membuat open sandwich dengan kaedah menampal bahan pada roti. Malah tiada pun yang terfikir untuk memotong roti menjadi bentuk yang cantik. Kerak roti pun tak buang. Saya tak de la mengharapkan sesuatu yang berlebihan dalam eksperimen ini namun sekurang-kurangnya patut ada seorang dua yang boleh mengubah bahan yang diberikan menjadi bentuk yang menarik seperti bento. Tak de yang terfikir jika sosej dibelah salah satu hujungnya dan digoreng, ia akan mekar seperti kelopak bunga.



Nampaknya terpaksa la saya latih lagi kreativiti mereka. Zaman sekarang ni makanan bukan sahaja perlu sedap. Rupa masakan juga penting. Tak de maknanya ajar masak kalau makanan yang dihidangkan kosong tanpa hiasan yang kreatif. Bagaimanapun, tahniah saya ucapkan kepada yang mampu menghasilkan hidangan lengkap termasuk pencuci mulut.