Kadang-kadang bila saya rasa boring dan ingin mencari idea resepi apa yang ingin dikaji, saya akan surf internet. Mana la tau dapat idea resepi baru. tetapi setiap kali jugak saya akan terserempak resepi kek coklat moist. Hampir semua blog dan web resepi mesti mengandungi resepi kek coklat moist. Bermacam-macam jenis. Berbagai-bagai cara bergantung kepada kreativiti orang yang menciptanya. Setiap orang mungkin berbeza cara-cara dan kaedah yang dirasakan lebih mudah. Dan dalam entri ini saya gariskan beberapa kriteria resepi kek coklat moist yang akan menjadi pilihan saya.

Pertama, saya akan fikirkan dahulu kegunaan kek coklat moist yang akan saya hasilkan iaitu sama ada untuk santapan keluarga atau sebagai produk jualan. 2 perkara ini sangat berbeza dimana jika untuk santapan keluarga, saya tidak perlu memikirkan keuntungan. Asalkan dirasakan sedap, saya akan cuba.

Kedua, bahan-bahan yang digunakan, juga bergantung kepada kegunaan. Untuk kegunaan komersial iaitu sebagai produk jualan, saya perlu memikirkan juga harga jualannya. Sudah tentu saya tak boleh menjual kek coklat moist dengan harga yang mahal berbanding harga pasaran. Jadi kos untuk membuat kek coklat moist juga haruslah rendah supaya saya mendapat keuntungan dalam setiap jualan. Jika untuk kegunaan sendiri, tak salah jika saya menggunakan bahan yang lebih mahal dan berjenama. Antara bahan-bahan yang tak patut ada dalam resepi kek coklat moist komersial adalah mentega, segala jenis coklat terutama yang berjenama seperti cadbury, hershey, ataupun krim sama ada krim putar, double cream.

Ketiga. elakkan resepi kek coklat moist yang menggunakan berbagai jenis bahan yang pada dasarnya adalah sama. Menggunakan bahan seperti ini hanya menambah jenis bahan yang perlu dibeli sedangkan bahan yang dibeli tidak digunakan sepenuhnya menyebabkan bahan yang terlebih dakan dibazirkan begitu sahaja. Contoh bahan yang saya maksudkan adalah seperti jenis-jenis susu seperti susu tepung, susu pekat manis, susu cair, susu segar dan krim. Adalah lebih baik menggunakan satu jenis susu sahaja berbanding beberapa jenis susu dan gunakan sepenuhnya susu yang dibeli. Jika beli susu segar satu kotak, habiskan semuanya dalam satu resepi. Jangan hanya gunakan 3/4 kotak sahaja sedangkan 1/4 kotak lagi terpaksa diminum begitu sahaja. Jika buat sekali sekala mungkin, kita masih larat nak minum. Jika untuk jualan, perlu membuat kek beberapa kali seminggu, lama-lama tengok susu tu pun rasa nak muntah. Satu lagi contoh adalah gula. Apa gunanya menggunakan berbagai jenis gula seperti gula castor, gula ising, gula perang, gula merah, sedangkan gula pasir lebih murah dan sudah pasti ada di dapur rumah anda.

Keempat, kaedah dan cara-cara membuatnya mestilah paling mudah tanpa menjejaskan hasilnya. Selain itu, kek haruslah boleh dimasak dengan berbagai cara, bergantung kepada keselesaan dan hasil yang dikehendaki. banyak resepi kek coklat moist yang saya cuba, hanya boleh dimasak dengan cara mengukus dan tak boleh dibakar. Ada juga yang boleh dibakar tetapi bila nak buat cupcake, cawannya mengembang atau keknya mengecut menyebabkan kek meregang dari acuannya. Resepi kek coklat yang baik seharusnya boleh dibakar, dikukus, dimasak menggunakan mikrowave tanpa perlu mengubahsuai resepinya atau sekurang-kurangnya menambah atau mengubahsuai satu bahan sahaja. Bukan semua orang ada oven dirumah mereka dan tak semua orang pandai menggunakan mikrowave.

Kelima, sudah tentu rasa kek mestilah sedap. Dalam hal ini, saya pecahkan kepada dua jenis kek yang sedap iaitu kek yang sedap kerana bahan-bahan yang digunakan dah sememangnya sedap. Contoh bahan yang boleh menjadikan kek coklat moist yang sedap adalah seperti coklat berjenama seperti Van Houten, Cadbury, Hershey atau mentega pure creamy seperti Golden Churn. Kedua adalah kek coklat moist yang menggunakan bahan-bahan yang biasa tetapi mempunyai rasa yang sedap seolah-olah menggunakan bahan yang mahal. Saya paling suka kek coklat moist yang menggunakan bahan-bahan yang murah dan biasa tetapi mempunyai rasa yang sedap dan luar biasa sehinggakan saya pun tak sangka bagaimana bahan-bahan seperti itu boleh menghasilkan kek yang sedap. Resepi seperti ini saya anggap sebagai satu cabaran intuk dihasilkan.

Itulah sebabnya saya menulis sebuah ebook berkenaan resepi kek coklat moist untuk dikongsi bersama peminat-peminat kek ini. Resepi ini saya muatkan dalam ebook percuma Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial 3 dimana kek ini sangat sesuai digunakan untuk berniaga. Gambar-gambar diatas adalah berbagai jenis kek coklat moist yang saya hasilkan menggunakan resepi yang sama. Ini bermakna, dalam satu adunan saya dapat menghasilkan beberapa jenis produk bergantung kepada permintaan pelanggan. Kek coklat moist bersaiz 8" x 8" dengan berat lebih kurang 1.8kg, saya jual dengan harga RM36.00 sahaja. Tak boleh murah-murah sangat. Bagi chance kat orang lain. hehhe