Tinggal di pusat bandar memang terlalu banyak pilihan untuk membeli-belah. Rumah saya pula sangat berhampiran dengan pelbagai hyper market. Dalam lingkungan 3km dari rumah saya terdapat 3 buah Giant, Tesco, Jusco dan Carrefour namun ini bukanlah tempat yang sering saya kunjungi untuk membeli belah. Saya sangat berhati-hati ketika membeli-belah. Antara faktor yang perlu saya fikirkan sebelum menentukan pusat beli-belah yang akan saya kunjungi adalah:
  1. Jenis barangan yang saya perlukan
  2. Harga barangan yang akan saya beli
  3. Masa yang akan saya gunakan untuk ke sana termasuk masa yang terpaksa saya habiskan di sana.

Persaingan antara pusat membeli-belah menyebabkan mereka menurunkan harga beberapa barangan mereka dengan harapan dapat menarik minat pelanggan mengunjungi tempat mereka. Malangnya bukan semua barangan mereka diturunkan harga. Jadi jangan terpengaruh. Jika barangan yang anda perlukan tidak tersenarai dalam barangan yang diturunkan harga, sila pilih tempat lain.

Biasanya hypermarket hanya menurunkan harga jika pembekal bersetuju menurunkan harga bekalan. Kita perlu tau, kebanyakan hypermarket mempunyai pembekal yang sama. Jadi dalam rangka promosi sesuatu barangan, pembekal akan mencadangkan harga jual kepada pengusaha-pengusaha hypermarket. Oleh yang demikian, biasanya semua hypermarket akan menjual barangan-barangan ini pada harga yang sama. Itulah sebabnya jika kita mendapat risalah jualan murah, beberapa barangan yang diturunkan harga juga terdapat dalam risalah hypermarket yang lain. Perbezaan harga yang sangat kecil diantara beberapa hypermarket disebabkan kuantiti barangan yang mereka tempah dari pembekal. Lagi banyak barang yang mereka tempah, lagi murah harga yang mereka perolehi dan lagi murah harga pula harga yang ditawarkan kepada kita.

Saya juga mengambil kira masa yang diperlukan ketika dipusat membeli-belah. Jika di hypermarket, jarak antara sesuatu barangan yang diperlukan sangat jauh. Apa gunanya membeli-belah di tempat yang memerlukan saya berjogging dari timur ke barat, selatan ke utara semata-mata mencari barang yang dikehendaki. Berapa banyak peluh yang perlu dikeluarkan. Ada juga hypermarket yang menyebabkan saya berpeluh-peluh hanya untuk perjalanan dari kereta ke pintu masuk! Jadi saya hanya memilih untuk membeli-belah di pasaraya yang lebih kecil tetapi mempunyai segala keperluan yang saya perlukan. Biasanya saya akan mengingati kedudukan setiap barangan yang biasa saya beli supaya saya tidak tercari-cari di kemudian hari.

Gambar-gambar didalam entri ini adalah gambar yang saya snap beberapa hari lepas di Kip Mart Tampoi iaitu tempat pilihan terbaik saya untuk membeli belah. Kebanyakan barangan yang saya perlukan terdapat disana dengan harga yang murah dan konsisten. Saya juga membeli barangan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja. Pada pendapat saya, apa gunanya membeli dalam kuantiti yang besar jika penjimatan yang saya dapat hanya beberapa sen sahaja. Contohnya membeli 10 batang pen memang lebih menjimatkan daripada membeli sebatang sahaja tetapi biasanya pen yang terlebih beli akan tersalah letak dan hilang sehingga terpaksa membeli lagi pada masa akan datang. Ini sebenarnya bukan penjimatan malah pembaziran. 

Sewaktu gambar-gambar ini diambil di Kip Mart Tampoi, berlangsungnya persembahan dari artis tempatan. Antara yang membuat persembahan adalah Pretty Ugly, Bahrain dan Mimie Mystar LG. Persembahan begini memang kurang saya minati. Tambahan pula, masih banyak barangan penting yang perlu saya beli. Bagi Ahza pula, dia lebih senang menonton kartun yang ditayangkan di televisyen besar yang dipamerkan. Kip Mart memang sering menjemput artis-artis tempatan melakukan persembahan sebagai tarikan pelanggan ke tempat mereka. Mereka juga melakukan cabutan bertuah beberapa kali setahun yang menyediakan pelbagai hadiah lumayan hanya dengan resit pembelian melebihi RM20. Suami saya juga pernah memenangi sebuah motorsikal Honda Wave 125 pada cabutan kedua tahun 2009. Lihat la gaya seorang pemenang.