Dari dulu hingga sekarang, isu mi kuning ni memang tak habis-habis. Ada mi kuning yang tidak halal, ada yang tidak bersih, ada yang mengandungi pengawet yang banyak, ada yang menggunakan logo halal palsu dan macam macam lagi termasuklah isu baru yang akan timbul nanti. Saya lebih sukakan mi kuning buatan saya sendiri. Tanpa pengawet, jadi mi kuning buatan sendiri tak ada la mempunyai rasa yang pelik-pelik. Buat mi kari atau masakan yang menggunakan kunyit pun tak akan menyebabkan warna mi bertukar menjadi merah. Jadi mi kuning buatan sendiri lebih selamat, sedap dan menjimatkan. Anda hanya perlukan ubat mi sahaja dalam resepi ini. Kalau tak tahu apa itu ubat mi dan fungsinya, boleh rujuk Bagaimana Membuat Mi Kuning Sendiri Di Rumah Bhgn 1.


Bahan-bahan untuk Resepi Mi Kuning
1kg Tepung Gandum
10g Ubat Mi
360g Air
2 cmt Garam
Pewarna Kuning
ΒΌ cwn Minyak Masak
Air yang banyak untuk merebus


Cara Membuat Mi Kuning Dirumah

  1. Larutkan ubat mi, garam dan pewarna kuning dalam air. Kacau sahaja dah mencukupi.
  2. Campurkan cecair kedalam tepung gandum sedikit demi sedikit sambil digaul menggunakan hujung jari untuk membentuk tekstur seperti serbuk roti.
  3. Anda akan mendapat adunan yang sangat kering. Kepal dan uli sehingga mendapat doh yang keras. Kalau tak mampu, rehatkan sekejap dalam bekas bertutup selama setengah jam sebelum diuli semula sehingga sebati.
  4. Canaikan doh menjadi leper setebal 1-1.5 mm. Buat sedikit demi sedikit supaya kerjanya lebih mudah. Habiskan semua doh menjadi leper semuanya. Gulung atau lipat dan tutupkan dengan plastik supaya tidak kering sementara meleperkan doh yang lain.
  5. Panaskan air dalam periuk sehingga mendidih. Kecilkan api supaya air kekal merenih.
  6. Dengan menggunakan mesin membuat mi (noodle maker) potong doh leper tadi menjadi bentuk mi.
  7. Rebuskan mi dalam air panas. Sebaik sahaja air rebusan mi mula merenih, curahkan semuanya kedalam tapis untuk dituskan airnya. Jangan biarkan terlalu lama direbus.
  8. Setelah dituskan beberapa saat, lambakkan mi kuning kedalam dulang sewaktu masih panas berasap.
  9. Ratakan mi didalam dulang sambil direnjiskan minyak masak supaya mi melerai dan tidak melekat semula. Pastikan mi kuning di leraikan dan diminyakkan dengan baik.
  10. Biarkan sejuk didalam dulang sebelum digunakan.


 


Tip Masakan Komersial

  1. Ubat mi tu dalam bentuk seketul seperti batu sebesar penumbuk budak. Jadi anda perlu kikis sedikit demi sedikit menggunakan pisau atau tumbuk sahaja supaya saiznya lebih kecil dan mudah larut dalam air.
  2. Di kilang mi, mereka mempunyai mesin yang kuat untuk meleperkan doh. Oleh itu, mereka terus memasukkan doh dalam bentuk serbuk roti kedalam mesin gelek untuk meleperkannya. Ini menjadikan me mereka lebih kenyal kerana adunan mi mereka lebih kering dan keras.
  3. Jika tak larat menguli doh sekeras itu, anda boleh tambahkan air lagi. Bagaimanapun kebarangkalian doh yang telah dileperkan dan yang telah dipotong menjadi bentuk mi untuk melekat semula lebih tinggi. Jadi, doh yang telah dileperkan tidak boleh digulung atau dilipat. Sewaktu memotong doh menjadi bentuk mi juga, anda perlu menggunakan minyak masak supaya ia tidak melekat.
  4. Mesin mi dikilang, lebih canggih. Biasanya doh dipotong kepada bentuk mi dan seterusnya mi distimkan dan diminyakkan. Proses ini berlaku terus menerus jadi kita hanya nampak mi kuning keluar mencurah-curah dibahagian pembungkusan sahaja. Kaedah stim lebih memudahkan jika mengusahakan cara besar-besaran begini kerana ia distimkan sedikit demi sedikit sambil bergerak atas landasannya.
  5. Anda boleh menambahkan minyak masak kedalam air rebusan supaya mi lebih mudah dileraikan. Dengan kepantasan yang saya ada, saya tak memerlukan kaedah ini.
  6. Mi yang belum mahu digunakan hendaklah disimpan dalam peti ais kerana ia tanpa pengawet. Anda boleh cuba memasukkan mi kuning ini dalam air bercampur serbuk kunyit. Warna mi tidak akan berubah warna menjadi merah.