Tak perlu diperkenalkan lagi. Kentang goreng memang sangat popular di Malaysia. Makanan barat ini dijual hampir di semua restoran masakan barat terutama yang berkonsepkan francais. Malah restoran dan gerai biasa juga menjualnya memandangkan ia sangat mudah dan cepat serta mempunyai permintaan tinggi sebagai makanan ringan dan sampingan. Bagaimanapun, saya rasa, hampir semuanya menggunakan kentang goreng sejukbeku yang terdapat dipasaran kecuali syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai beratus-ratus cawangan diseluruh negara.

Resepi kentang goreng ini saya tujukan buat semua pembeli ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial yang selama ini menggunakan produk kentang goreng sejuk beku segera di pasaran. Saya harap selepas ini, anda semua dapat menghasilkan produk kentang goreng anda sendiri, 100% dari usaha anda yang halal dan berkualiti. Moga anda akan beroleh keuntungan yang lebih lagi dengan sedikit tambahan usaha. Mungkin juga anda boleh mengusahakan produk kentang goreng segera sejukbeku dengan mendirikan sebuah kilang kecil-kecilan dan memasarkan diseluruh Malaysia. Insya Allah.


Bahan-bahan untuk Kentang Goreng Rangup
Ubi Kentang
Minyak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Kentang Goreng Rangup
  1. Ubi kentang dibuang kulitnya dan dibersihkan.
  2. Potong ubi kentang memanjang straight cut atau shoestring setebal 1/2 - 1 cm.
  3. Panaskan minyak masak 210C dan gorengkan kentang sehingga empuk sahaja tak perlu sehingga kekuningan. Ini mengambil masa kira-kira 3 minit bergantung kepada kekuatan api dan kuantiti kentang yang digoreng.
  4. Setelah empuk, angkat dan tuskan minyaknya. Kalau boleh keringkan dengan kertas tisu.
  5. Ratakan didalam bekas seperti dulang dan sejukkan seketika sebelum dimasukkan dalam peti sejuk beku.
  6. Setelah kentang beku sedikit, leraikan kentang-kentang yang melekat dan bungkuskan dalam plastik untuk dibekukan sepenuhnya.
  7. Jika anda ingin terus makan, selepas kentang dituskan, biarkan ia sejuk sebentar kemudian goreng semula sehingga kekuningan dan garing.
  8. Kentang yang telah disejukbeku, boleh digunakan bila-bila masa bila diperlukan. Tak perlu dinyah beku. Terus sahaja goreng dalam minyak yang panas seperti kentang goreng sejukbeku biasa.


Tip Masakan Komersial.
  1. Pilih kentang yang besar untuk menghasilkan kentang goreng yang panjang. Tak perlu merendam kentang dalam air. Sekarang ni teknologi penanaman kentang juga telah maju. Kentang akan lambat lebam dan jika ia lebam, anda hanya perlu mencuci dengan air dan kesan lebam ini akan hilang.
  2. Potong kentang dalam saiz yang sama supaya kentang dapat masak dengan serentak.
  3. Sewaktu menggoreng kentang, jangan terlalu kerap mengacaunya untuk mengelakkan ia patah. Cuma pastikan ia terlerai dan tidak melekat sesama mereka dan masak dengan sekata.
  4. Kentang mengandungi kanji jadi kemungkinan untuk ia melekat sesama sendiri sangat tinggi walaupun ia dilapisi minyak. Jadi anda perlu leraikan kentang yang sejuk sebelum ia membeku.
  5. Anda boleh menggunakan teknik mengukus berbanding menggoreng untuk menjadikan kentang empuk bagaimanapun teknik ini kurang baik kerana kentang sangat mudah patah dan melekat. Teknik menggoreng menjadikan satu lapisan nipis dan kuat sekeliling kentang menjadikan ia lebih susah patah dan tidak melekat.
  6. Kentang goreng yang cantik ialah kentang yang mengelembung sedikit apabila digoreng. Ini menjadikan bucu potongan seolah-olah menjadi bulat dan bahagian dalamnya seperti berongga akibat daripada pegangan kulit nipis tadi.
  7. Kalau perasakan kentang goreng dengan menabur garam atau lada hitam, itu sudah biasa. Apa kata anda mencipta kelainan dengan menambah perasa dalam minyak gorengan agar produk anda unik. Anda boleh mencampurkan minyak gorengan dengan minyak bawang putih atau minyak cili. Belum pernah lagi saya lihat kentang goreng seperti ini.
  8. Dipasaran, saya dapati terdapat ubi kayu yang dibuat dalam kaedah ini dan dijual sejukbeku tetapi saya belum jumpa lagi ubi keledek atau keladi. Untuk ubi keladi, saya tak pasti tapi ubi keledek memang telah saya cuba dan ia memang boleh dilakukan walaupun ia sangat mudah patah. Rasa keledek yang manis menyebabkan saya rasa keledek yang digoreng dengan cara ini sangat enak.