Ayam, sangat sesuai untuk masakan melayu berempah. Sebenarnya masak macam manapun tetap sedap juga tapi untuk kehidupan di Malaysia, kalau tak guna rempah memang tak sah. Tapi seringkali kita bereksperimen dengan rempah akan mendapat hasil masakan yang lebih kurang sama. Dah tambah macam-macam, rasanya tetap seperti kari atau rendang. Bagi manis sikit dah jadi macam beriani. Apa kata jika bereksperimen, jangan keterlaluan sangat bahannya. Cuba gunakan satu atau dua jenis rempah sahaja. Semoga kita dapat membezakan keistimewaan setiap rempah yang digunakan.


Bahan-bahan untuk Ayam Pedas Berempah
300g Isi Ayam
½ bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 cmt Ketumbar
1 cmt Jintan Manis
5 tangkai Cili Kering
Secubit lada Hitam
½ cmt Garam
1 cmb Gula
1 cmt Pes Asam Jawa.
3 cmb Minyak Masak
¼ cwn Susu Cair
Sedikit Air.


Cara membuat Ayam Pedas Berempah
  1. Isi ayam dihiris nipis. Bawang besar dan bawang putih juga dihiris nipis.
  2. Ketumbar dan jintan manis dikisar kering sehingga halus dan cili kering dikisar bersama sedikit air. Gaulkan serbuk rempah dan cili kisar ini menjadi pes.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga wangi.
  4. Masukkan pes campuran tadi dan tumiskan sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan ayam dan goreng sehingga isi ayam kelihatan putih.
  6. Tambahkan sedikit air, susu, pes asam jawa dan perasakan dengan garam, gula dan lada hitam.
  7. Masak perlahan-lahan dan dapatkan tahap kepekatan yang anda kehendaki.
  8. Hidangkan bersama nasi ketika masih panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Adalah sangat penting untuk mengetahu bahan-bahan yang terkandung dalam sesuatu rempah. Biasanya rempah kari, beriani, kurma, sup dan sebagainya mempunyai bahan yang hampir sama. Bezanya cuma nisbah bahan-bahan tersebut. Jadi bila bereksperimen, elakkan dari menggunakan bahan-bahan biasa dengan nisbah seakan-akan sama dengan rempah-rempah tadi.
  2. Rempah perlu dikisar sehalus yang mungkin. Jika boleh, ayak supaya semuanya betul-betul halus. Apabila di masak, rempah ini akan kembang dan rempah yang kurang halus akan jelas kelihatan. Hasilnya, anda akan terasa seperti makan hampas.
  3. Apabila isi ayam dimasak, airnya akan keluar menyebabkan isinya kering. Oleh itu, tak perlu memasak terlalu lama. Tak perlu menggunakan air pun tak mengapa kecuali anda inginkan ayam yang berkuah. Jika menggunakan sayuran yang lambat empuk seperti kentang dan carrot, pastikan bahan ini dimasukkan dahulu. Setelah semuanya empuk, barulah dimasukkan ayam.
  4. Mungkin ada diantara anda yang menggmari ayam yang lebih garing. Untuk ini, saya cadangkan anda goreng dahulu ayam dengan menggunakan tepung jagung dalam minyak yang banyak. Jika menggunakan tepung berperisa pun boleh. Bagaimanapun, pastikan kuah lebih pekat dan gunakan lebih banyak gula untuk hasil yang lebih berkilat. Jika tidak, ayam yang digoreng tadi tak dapat mengekalkan kegaringannya.