Kalau ayam goreng, saya rasa tak payah nak diajar lagi. Orang Malaysia memang suka makanan bergoreng terutama ayam. Kalau orang yang tak pernah kedapur pun dah boleh agak macam mana nak buat. Bagi saya, ayam kalau digoreng dengan garam sahaja pun dah sedap. Tak perlu rempah yang keterlaluan lagi. Nestum pula sebagai cara yang mudah untuk memberikan kerangupan. Tapi setiap sesuatu resepi mesti ada keistimewaan yang tersirat.


Bahan-bahan untuk Ayam Goreng Nestum
½ ekor Ayam
4 ulas Bawang Putih
3 cmb Tepung Gandum
200ml Air
2 cwn Nestum
Garam
Minyak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Ayam Goreng Nestum
  1. Ayam dipotong 5 dan dibersihkan
  2. Kisar bawang putih bersama air dan garam.
  3. Gaulkan ayam dengan larutan bawang putih dan perapkan sekurang-kurangnya setengah jam.
  4. Keluarkan air perapan dan masukkan pula tepung gandum. Gaul sehingga tepung yang melekit menyaluti seluruh ayam.
  5. Panaskan minyak masak dengan api yang sederhana besar.
  6. Sebelum menggoreng ayam, golekkan dahulu dalam nestum. Goreng sehingga ayam masak lebih kurang 15 hingga 20 minit.
  7. Tuskan dan bolehlah dihidang.


Tip Masakan Komersial
  1. Rasa nestum yang lembut memang tak sesuai digandingkan dengan rempah-rempah yang mempunyai bau dan rasa yang kuat. Bawang putih sudah memadai. Banyak produk ayam goreng hanya menggunakan serbuk bawang putih dan msg sahaja sebagai bahan perapan.
  2. Fungsi asal nestum adalah untuk merangupkan tetapi sebaiknya rasa nestum dikekalkan. Boleh juga menggunakan kaedah ini untuk oat atau biskut yang diramas kasar.
  3. Menggoreng ayam yang bersalut sangat baik untuk mengekalkan jusnya. Salutan berfungsi sebagai perisai untuk melindungi jus ayam dari terus keluar. Dengan ini, bahagian dalam ayam tidak kering dan lebih empuk.
  4. Nestum yang nipis memang mudah hangus jika digoreng terlalu lama sedangkan jika ayam digoreng terlalu sekejap pula tentu tidak masak. Jika digoreng dengan api kecil, salutannya pula yang tak garing. Biasanya apabila saya menggoreng ayam bersalut begini, saya akan membiarkan minyak betul-betul panas dahulu dengan api yang besar. Setelah minyak panas, kecilkan api dan masukkan beberapa ketul ayam secepatnya. Jika lambat, ayam yang pertama digoreng tadi akan hangus serta merta. Ada masanya, saya tutup kuali terutama untuk bahagian ayam yang besar supaya bahagian dalamnya cepat empuk sebelum bahagian luarnya terlebih masak. Kalau ada deep fat fryer lebih mudah.