Semalam seperti hujung minggu biasa, saya akan berkunjung ke pusat membeli-belah untuk membeli beberapa barangan keperluan terutama barangan dapur. Tahun Baru Cina akan tiba tak lama lagi, jadi saya menjangkakan minggu depan, tempat-tempat begini akan penuh sesak dengan pengunjung. Minggu cuti seterusnya sudah tentu banyak kedai yang tutup. Jadi saya merancang untuk mendapatkan keperluan lebih banyak dari biasa sebagai stok hari cuti dan diantaranya adalah ayam segar. Malangnya gerai yang sering saya kunjungi hanya mempunyai ayam-ayam yang sangat kecil. Malah ayamnya paling kecil diantara semua gerai yang ada disitu. Saya memang alergik dengan ayam yang belum akil baligh lagi ni. Jadi saya ke gerai-gerai lain yang terletak bersebelahan.

Secara amnya, harga syiling ayam standard adalah RM7 tetapi semua gerai disitu menaikkan papan tanda dengan harga RM7.50. Kemudian mereka akan membisikkan harga RM6 kepada semua pengunjung. Perbezaan sebanyak itu menyebabkan ramai yang tertarik kerana menyangka harga itu cukup murah. Hakikatnya, mereka akan menggunakan penimbang digital yang akan meningkatkan berat ayam melebihi 500g setiap ekor dengan hanya menekan satu butang sahaja. Saya hanya membeli ayam yang mempunyai berat melebihi 2.5kg sahaja. Memang sedikit sukar mencari ayam dengan berat begitu. Bagaimanapun ini bukan mustahil. Jadi saya sangat arif dengan berat ayam yang saya pandang. Apa lagi jika saya angkat.

Saya cuba membeli ayam dibeberapa gerai, malangnya semua ayam yang ditimbang, beratnya melebihi  2.8kg dengan harganya menunjukkan RM16.80. Saya anggarkan berat ayam itu hanya sekitar 2kg dan tak akan melebihi 2.3kg. Kalau dulu sukar mencari ayam melebihi 2.5kg, tapi malam ini semua ayam yang saya pegang beratnya melebihi 2.8kg. Saya tahu mereka cuba bermain akal. Mereka menurunkan harga dan dalam masa yang sama, mereka akan menaikkan berat. Pada mereka setelah dicampur tolak, harganya akan tetap sama. Tetapi sebenarnya jika saya membeli ayam dengan harga syiling sekalipun, saya tetap akan mendapat harga yang lebih rendah dari itu selagi timbangan bereka jujur. Kalau tak percaya, cuba kira sendiri.

Nak kenal peniaga seperti ini, senang sahaja. Mereka akan sentiasa set semula penimbang mereka. Harga per kilogram akan sentiasa dibiarkan kosong. Jika ada yang ingin membeli ayam, barulah harga dimasukkan. Untuk pelanggan yang tak bertanya soal harga, mereka akan terus meletakkan harga syiling. Begitu juga dengan pelanggan yang mencurigakan. Tetapi bila pelanggan itu datang kerana harga yang dibisikkan tadi, dengan pantas jari mereka menekan satu butang sambil berpura-pura mengelap meja atau timbangan dan secara automatik, berat apa sahaja barang yang ditimbang akan meningkat mendadak. Mereka sentiasa berjaga-jaga supaya tidak dikesan. Itu sebabnya penimbang sentiasa di set semula.

Peniaga seperti ini tak akan gentar dengan penguatkuasa. Walaupun sering kita dengar penguatkuasa yang datang menyamar sebagai pelanggan tetapi mereka akan terus menipu. Mungkin kerana hukumannya terlalu ringan. Oleh itu, berhati-hatilah dengan peniaga seperti ini. Cuba rujuk panduan membeli ayam dalam entri saya yang lalu agar anda dapat produk yang setara dengan nilai wang yang dikeluarkan.