Jika kita perhatikan, dimana-mana sahaja pasti terdapat usahawan disekitar kita. Dan dalam banyak-banyak usahawan tersebut kita akan dapati usahawan makanan boleh wujud dimana-mana sahaja. Di tepi jalan, bawah jambatan, celah bangunan, rumah kongsi, dan banyak lagi tempat yang saya rasa sangat unik dan tak disangka-sangka boleh dijalankan perniagaan. Klinik kerajaan pun ada nurse yang menjual kuih-muih di kaunter pendaftaran. Kaunter imigresen pun ada jual roti. Usahawan ini saya anggap tegar. Dimana sahaja asalkan menjadi tumpuan manusia boleh menjadi lokasi jualan.




Setelah itu, kita lihat pula premis-premis yang menjalankan perkhidmatan yang memang langsung tak pernah saya jejaki. Jika saya tak pernah masuk ke premis ini, mungkin bermakna pelanggannya memang tak ramai tapi tetap berdiri, semakin bertambah malah nampak lebih gah dari premis yang menjual produk keperluan asas. Premis yang saya maksudkan seperti rumah urut dan refleksologi, manicure pedicure, dan mungkin juga pusat judi haram. Pusat judi haram contohnya, berniaga secara sembunyi-sembunyi pun boleh buat untung. Pusat refleksologi pula boleh ada banggunan sehingga 3 atau 4 tingkat. Entah berapa ramai pelanggan mereka dalam satu masa agaknya.



Oleh yang demikian, saya tak percaya perniagaan makanan tak boleh mengatasi perniagaan-perniagaan lain. Pertama, makanan adalah keperluan asasi. Semua orang makan setiap hari. Bukan sekali, bukan dua kali sehari. Mungkin ada yang makan 6 kali sehari. Kedua, perniagaan makanan adalah perniagaan yang halal, dan penuh keberkatan. Walaupun tak de lesen, kita masih boleh jalankan perniagaan dimana-mana sahaja. Tak perlu sembunyi-sembunyi macam pusat judi haram. Ketiga, untuk menjalankan perniagaan makanan, modal yang kita perlukan sangat kecil. Tak perlu bangunan sampai 3 tingkat macam pusat refleksologi. Payung dan meja je dah cukup. Keempat, ilmu perniagaan boleh diperolehi dengan mudah. Tak perlu belajar semua jenis kuih-muih untuk menjadi usahawan kuih. Dapat ilmu yang betul untuk satu jenis pun dah boleh berniaga. Pernah dengar mengenai perniagaan produk tunggal? Banyak lagi yang boleh kita bincangkan tapi mungkin belum sesuai untuk kali ini.



Memang perniagaan makanan menghasilkan pulangan yang kecil jika kita tidak mengolahkannya dengan betul. Berdiri tepi jalan ditengah panas sambil menunggu pelanggan datang memang penat. Menunggu pelanggan di restoran walaupun ada air-cond pun lemas jugak. Sebab itulah anda perlu menjadi lebih kreatif. Menunggu je memang tak cukup. Lebarkan sayap lebih jauh. Gunakan teknologi yang ada sekarang ini yang paling sesuai untuk produk anda. Negara kita ada FAMA, Jabatan Pertanian, Mardi dan lain-lain, gunakan mereka untuk memajukan perniagaan. Teknologi pembungkusan seperti pengetinan, vakum seal, pembotolan, pembungkusan nitrogen dan banyak lagi dah lama terdapat di negara kita. 



Dapatkan status halal, maklumat pemakanan, GMP, HACCP dan ntahapaapalagintah sekiranya boleh memajukan lagi perniagaan anda. Dapatkan ilmu dari individu yang betul, berkawan dengan individu yang boleh membantu anda, sertai program yang dijalankan oleh agensi-agensi yang saya nyatakan tadi untuk meningkatkan modal insan dan jati diri. Akhir sekali dan yang paling penting, JANGAN MALAS!